| Universiti Putra Malaysia

Ladang 15 UPM tuai hasil keledek dan sun melon tingkat penjanaan Fakulti Pertanian

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari 
 
 
Serdang, 21 Oktober - Staf Ladang 15 Fakulti Pertanian UPM menerusi projek penjanaan fakulti tersebut menuai hasil tanaman keledek dan sun melon hari ini setelah menanamnya hampir dua bulan. 
 
Pegawai Pertanian Kanan, Allan Lajot berkata tanaman sun melon merupakan projek yang pertama ditanam di situ sebagai salah satu hasil pendapatan kepada fakulti kerana mendapat permintaan yang tinggi serta hasilnya yang baik. 
 
“Di ladang 15 ini setiap staf digalakkan untuk membuat projek tanaman masing-masing dan bagi pengeluaran pertama sun melon ini saya sangat seronok melihat kira-kira 120 biji dituai hari ini. Kita juga akan meneruskan penanaman buah ini selepas ini,” katanya. 
 
Penolong Pegawai Pertanian, Mohd Adib Saprani yang bertanggungjawab menjaga projek sun melon berkata penghasilan buah ini mengambil masa selama 60 hingga 65 hari untuk dituai dengan berat antara 1.2KG hingga 1.6KG.
 
“Kadang-kadang ia boleh mencecah 2KG namun penjagaannya harus lebih rapi dan teliti untuk menghasilkan buah seberat ini. Faktor cuaca memainkan peranan yang penting begitu juga tenaga kerja kerana dahannya perlu dipotong bagi menghasilkan buah yang lebih berat,” katanya. 
 
Sementara itu, Mohd Nazrul Anis, 30 yang menguruskan tanaman keledek berkata hasil tanamannya itu sangat memberangsangkan setelah tiga bulan ia ditanam.
 
“Sebelum ini saya sudah menanam jagung sebanyak dua kali. Jadi untuk mengawal serangga perosak saya perlu membuat penggiliran tanaman dan memilih keledek kerana mudah untuk dijaga disamping hasilnya yang banyak.
 
“Kita juga mendapat permintaan yang tinggi pasaran keledek di dalam UPM dan luar. Kepada orang luar yang ingin membeli boleh datang ke Ladang 15 UPM,” katanya. 
 
Bersempena dengan Majlis Konvokesyen UPM ke-46 Sidang 2, hasil tanaman Ladang 15 UPM juga akan dijual di reruai Pusat Pertanian Putra (PPP), Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen yang akan berlangsung pada 26 November sehingga 2 Disember ini. -UPM

SXEaQAQ~