| Universiti Putra Malaysia

Kumpulan Malinja FRSB, UPM menang Anugerah Khas Exco di Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

PENANG, 25 Julai: Kumpulan pengkarya dari Fakulti Reka Bentuk dan Senibina (FRSB) Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bernama Malinja, telah berjaya memenangi Anugerah Khas Exco Pulau Pinang pada Pertandingan Arca Jerami sempena Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 yang berlangsung pada 22 sehingga 24 Julai yang lalu.

 Ketua Kumpulan Malinja FRSB, UPM, Dr. Mohd Fabian Hasna berkata, arca tersebut diilhamkan dari peribahasa “Ada Padi Masak, Adalah Pipit”, yang bermaksud di mana ada peluang mencari rezeki di situlah khalayak akan berkumpul.

“Pertandingan Arca Jerami Padi telah berlangsung sempena Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0. Tema ini dipilih kerana mengungkap isu pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada masyarakat Malaysia terutamanya golongan kebanyakan.

“Burung Pipit yang berterbangan di bahagian atas arca melambangkan keadaan rakyat biasa yang bertebaran mencari rezeki dalam segala kepayahan.

“Laluan ruang-ruang ini adalah perlambangan kepada kepayahan dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat. Burung ini juga melambangkan harapan masyarakat kepada pemimpin di dalam mengatasi masalah dari kesan pandemik Covid-19, “katanya.

Kumpulan Malinja berjaya membawa pulang sejumlah wang tunai, trofi dan juga sijil atas kemenangan memenangi Anugerah Khas Exco Pulau Pinang pada Pertandingan Arca Jerami Padi.

Beliau berkata, seni adalah sesuatu yang perlu dihayati dan dialami, justeru, pengolahan arca terbentuk dari ruang-ruang yang misteri dan penuh ekspresi.

 “Pengolahan arca dibuat secara rawak bagi melambangkan ketidaktentuan masa depan dan cabaran bagi mereka yang terlibat secara langsung dengan pandemik Covid-19.

Katanya, keseluruhan pengolahan arca ini mengundang khalayak untuk berhenti sejenak dan berfikir tentang kesan yang dihadapi rakyat kebanyakan akibat pandemik Covid-19. -UPM

SXEaUAK~