Kertas Kerja Bersama Prof. Ainuddin, Dayang Dipilih Pembentangan Terbaik | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kertas kerja bersama Prof. Ainuddin, Dayang dipilih pembentangan terbaik

Kertas kerja bersama Prof. Ainuddin, Dayang dipilih pembentangan terbaik

Oleh Azman Zakaria



PYEONGCHANG, (KOREA) Kertas kerja hasil bersama Timbalan Pengarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), UPM, Profesor Dr Ahmad Ainuddin Nuruddin dan pelajar Master, Dayang Nur Sakinah Musa dipilih sebagai pembentangan terbaik dalam sesi Fuel Management, Fire Regime pada Persidangan Antarabangsa ke-6 Kebakaran Kawasan Liar 2015 (IWFC 2015).

Kertas kerja yang bertajuk Impact of Burning on Physical Characteristics of Tropical Peat itu dibentangkan oleh Dayang Nur Sakinah. Beliau kemudian menerima sijil yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Perhutanan Korea.

Selain itu, Profesor Dr Ahmad Ainuddin turut membentangkan dua kertas kerja.

Beliau juga dilantik menjadi moderator kepada satu daripada sembilan sesi selari yang membincangkan sembilan tajuk penting berkaitan kebakaran kawasan liar.



Program saintifik disediakan dengan lima sesi planeri dengan pembentang sesi planeri ini adalah tokoh terkemuka di dalam bidang pengurusan kebakaran kawasan liar.

Persidangan diadakan empat  tahun sekali, dan ini adalah kali pertama ia diadakan di Asia. Persidangan bertemakan ‘Fire in the Past, Fire in the Future’ itu berlangsung dari 14-16 Oktober lalu dengan dihadiri lebih 3,000 peserta dari hampir 80 negara.

Ia disertai pengurus kebakaran hutan, penyelidik, profesional dan penggubal polisi yang membincangkan isu kritikal kebakaran di kawasan liar yang memberi kesan terhadap komuniti, sumber dan ekosistem, serta bekerjasama untuk pembangunan strategi pengurusan kebakaran kawasan liar secara global.

Ia juga bertujuan untuk industri pengurusan kebakaran, orginisasi penyelidikan dan pakar kebakaran untuk mempamerkan teknoloji inovatif, produk dan kaedah menangani pengurusan kebakaran di kawasan liar serta berinteraksi dengan pengunjung persidangan itu.

Kehadiran Prof Dr Ahmad Ainuddin ditaja sepenuhnya oleh International Timber Trade Organisation (ITTO) yang beribu pejabat di Yokohama, Jepun, manakala

Dayang Nur Sakinah ditaja oleh ASEAN-Korean Forestry Cooperation (AFoCO) yang beribu pejabat di Seoul, Korea. – UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569094308