| Universiti Putra Malaysia

Kerja sambil belajar di ladang rock melon UPM jana pendapatan generasi muda

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Izrul Abdul Jabar

SERDANG, 30 Jun - Kebanyakan orang menganggap pekerjaan sebagai petani adalah pekerjaan yang kurang menguntungkan dan dianggap kotor kerana perlu berpanas dan berhujan.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pertanian kurang diminati oleh anak muda, salah satu persepsi mereka menyatakan pekerjaan tradisional yang dilakukan oleh orang tua.

Namun dari segi ekonomi pula, banyak orang yang beranggapan pendapatan seorang petani tidak menguntungkan dan tidak menjamin masa depan.

Melihat situasi tersebut, Pegawai Pertanian Kanan, Fakulti Pertanian Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Allan Lajot berpendapat, inisiatif yang boleh dilakukan untuk mengajak pelajar UPM bukan dalam bidang pertanian tertarik dalam bidang pertanian dengan memberi upah kepada mereka menguruskan ladang rock melon di UPM.

"Di samping itu pelajar bukan jurusan pertanian akan mendapat keuntungan dalam memperoleh ilmu pertanian dengan menjana pendapatan hasil bekerja sambil belajar di ladang rock melon, Ladang 10 UPM,” katanya.

Tambah beliau, para pelajar yang dipilih untuk bekerja di ladang rock melon terdiri daripada pelajar asnaf yang diberikan upah bagi mengajar mereka menjadi usahawan tani rock melon selepas menamatkan pengajian di universiti.

Penuaian 620 pokok rock melon bagi Program Tanaman Rock Melon Varieti Glamor memberikan hasil yang sangat baik kepada UPM untuk menjana pendapatan dan juga membantu pelajar UPM menambah pendapatan sambil menimba ilmu. Projek ini dimulakan pada 14 Jun lalu dan telah berjaya dituai hasil buah rock melon sebanyak 300 biji setakat ini di Ladang 10 di UPM.

Pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perladangan Dengan Kepujian,Fakulti Pertanian, UPM,  Ahmad Mustaqim Ismail, program sukarelawan pelajar itu banyak memberikan ilmu yang sukar untuk diperolehi, contohnya sistem fertigasi yang banyak digunakan pada zaman sekarang.

“Sistem ini bukan hanya untuk penanaman rock melon, namun fertigasi ini boleh digunakan untuk tanaman cili terung dan lain-lain.

"UPM sangat membantu memberi peluang seperti ini dengan memberikan ilmu dan tambah pendapatan dalam bidang pertanian yang kurang diceburi oleh golongan muda pada zaman sekarang,” katanya.

Ahmad Mustaqim berkata perancangan beliau pada masa depan beliau mahu dapatkan ilmu fertigasi untuk bantu penduduk di kampung beliau dalam bidang pertanian terutama buah rock melon yang nilainya sangat tinggi di pasaran bagi menjana pendapatan.

Tambahnya, pengalaman paling manis buatnya ketika melihat buah rock melon yang sedang dalam proses debunga menjadi besar dan cantik.

"Saya merasa sangat bangga kerana telah dapat menguruskan masa dengan baik sebagai pekerja dan pelajar kerana kita tahu waktu pendebungaan buah rock melon adalah waktu yang sangat penting dalam menjayakan buah yang berkualiti dan manis," katanya.

Pelajar Bacelor Sains Bioteknologi Dengan Kepujian, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM, Nurdeena Akma Mohd Akmal berkata walaupun program pengajiannya tidak berkaitan dengan pertanian, namun kerana minat beliau mempelajari menguruskan buah rock melon di Ladang 10, UPM

“Semasa bekerja di ladang buah rock melon, kami diberikan upah menguruskan buah rock melon dan ianya sangat berbaloi dan upah yang diberikan adalah untuk simpanan saya. UPM banyak membantu saya yang tidak tahu langsung bidang pertanian terutamanya fertigasi yang boleh digunakan untuk semua tanaman,” katanya.

Tambah beliau, pertanian boleh diceburi oleh semua individu bagi menambah hasil tani negara, tanpa perlu diimport dari negara lain serta boleh menjana pendapatan sebagai petani yang berjaya dari ilmu yang diperolehi dari UPM secara percuma kepada semua pelajarnya. - UPM

SXEaPAv~