Kata-kata Ibu, Ayah Jadi Azimat Bakar Semangat Kejayaan OKU | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kata-kata ibu, ayah jadi azimat bakar semangat kejayaan OKU

Kata-kata ibu, ayah jadi azimat bakar semangat kejayaan OKU

Oleh Azman Zakaria Foto
Oleh Noor Azreen Awang


SERDANG, 2 Nov - Kecacatan tidak menghalang, malah dijadikan pembakar semangat untuk berjaya oleh dua pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang merupakan antara ribuan pelajar yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen ke-39 Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

M Hanif Hafizuddin Mohd Azmi, 24, yang terpaksa berkerusi roda sejak empat tahun lalu akibat sakit saraf yang mula dihidapi ketika di Darjah 6 tahun 2003, dan Siti Safura Jaafar, 32, yang diserang sakit otot dan saraf ketika berusia 3 tahun dan menggunakan kerusi roda bermula Tingkatan 1, merakam detik gembira menerima ijazah bersama keluarga tersayang.

“Ibu dan ayah adalah pendorong kejayaan, yang memberi kekuatan untuk kami," kata mereka ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen di sini.

M Hanif Hafizuddin dari Pasir Puteh, Kelantan menerima Ijazah Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia), manakala Siti Safura, dari Seremban, Negeri Sembilan menerima Master Sains Fitokimia.

“Saya mula merasakan sesuatu apabila kaki saya tidak boleh memijak… terjengket-jengket semasa Darjah 6. Doktor memberitahu saraf tulang belakang renggang.

“Pergerakan saya mula terbatas dan semakin dirasai ketika saya mengambil peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terpaksa menggunakan tongkat. Ketika di UPM, saya mula menggunakan kerusi roda,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.

“Emak dan ayah beri kata-kata semangat dan perangsang apabila mereka sering berkata ‘jangan tengok kelemahan diri, tapi tengok apa yang kita boleh buat’. Ini kata-kata azimat untuk saya,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat Master untuk mengejar cita-cita menjadi pensyarah.

Siti Safura pula berkata, beliau menghidap penyakit genetik yang melibatkan otot dan saraf ketika berusia 3 tahun yang mengakibatkan lama kelamaan beliau tidak boleh berjalan. “Keluarga memberi sokongan dan semangat, mereka menghantar saya pergi dan balik sekolah. Memang sukar kerana berkerusi roda sejak Tingkatan 3, namun saya kuatkan semangat,” katanya.

“Sakit yang saya hidapi ini menyebabkan saya cepat penat. Oleh itu sepanjang pengajian di UPM saya perlu mengurus masa dengan bijak. Alhamdulillah saya dapat lalui semua itu dan menamatkan pengajian,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

“Sebagai OKU, kita tidak boleh mengalah,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah. - UPM

Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566641123