| Universiti Putra Malaysia

FPV UPM JALIN KERJASAMA INDUSTRI UNTUK PENYELIDIKAN PENYAKIT KHINZIR SERTA DEMAM BABI AFRIKA

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 24 Mei - Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Boehringer Ingelheim Animal Health (BIAH) telah mengadakan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) pada hari ini untuk penyelidikan penyakit khinzir yang berada di Malaysia termasuk Penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Pertukaran MoA tersebut telah dilakukan antara Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari dan Ketua Kesihatan Haiwan BIAH Malaysia dan Singapura, Dr. Kam Kok Yen.

Prof. Dr. Nazamid Saari berkata MoA tersebut diharapkan dapat menyumbang kepada kemajuan penyelidikan dalam penyakit khinzir yang sedia ada dan kemunculan penyakit baharu, sekali gus mengekalkan usaha pemantauan berterusan oleh pihak FPV UPM dalam industri ini.

“Jalinan yang utuh antara FPV dan BIAH adalah sangat penting untuk membantu penyelidikan penyakit khinzir di Malaysia bagi memastikan keperluan penyelidikan saintifik industri dipenuhi. Kami berharap agar kejayaan hasil daripada kerjasama ini tetap berterusan dalam tahun mendatang.

“BIAH telah menjadi peneraju utama pasaran global dalam penyelidikan kesihatan haiwan, vaksin dan ubat biofarmaseutikal. Kolaborasi antara universiti dan industri berteraskan penyelidikan merupakan tradisi yang sering dilakukan agar UPM dapat memberi sumbangan kepada masyarakat, haiwan mahupun alam sekitar,” katanya.

Turut hadir, Dekan FPV, UPM, Prof. Dr. Abdul Rahman, Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Ooi Peck Toung serta pasukan penyelidikannya.

SXEaJA~