| Universiti Putra Malaysia

Dedikasi atlet UPM untuk harumkan negara

Oleh: Hendra Rijal

 

SERDANG 29 Okt – Kedua ibu bapa kepada pemain bola jaring kebangsaan Siti Nor Farhana Mustafa, pernah berasa ragu-ragu dan bimbang anak mereka itu akan ketinggalan dalam pelajaran kerana pembabitan aktif dalam sukan.

 

Namun hari ini, Siti Nor Farhana membuktikan kejayaan akademik juga berjaya dikecapnya, sekali gus menghadirkan kegembiraan untuk kedua ibu bapanya yang turut hadir menyaksikannya menerima Bacelor Pendidikan Jasmani pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-42, hari ini.

 

“Kami amat penuh bersyukur dengan pencapaian Siti Nor Farhana yang berjaya dalam akademik dan sukan,” kata mereka. 

 

Siti Nor Farhana yang kini menyambung pengajian Master Sains Sukan di Fakulti Pengajian Pendidikan berkata, ibu bapanya serta jurulatih Choo Kon Lee dan Tracy Robinson adalah sumber inspirasinya.

 

Siti Nor Farhana membantu pasukan bola jaring kebangsaan meraih pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di sebalik perlu menanggung kesakitan akibat kecederaan osteoarthritis lutut.

 

Kecederaan yang dialami memaksa beliau menjalani rawatan intensif dan  bergantung pada ubat supaya dapat mewakili negara pada Sukan SEA itu.

 

“Saya mengalami kecederaan pada kedua-dua lutut dan pada satu masa hampir berputus asa. Tetapi dengan sokongan terutama daripada jurulatih dan ahli pasukan, alhamdulilah saya bounce back dan kita mengalahkan Singapura 65-41 pada perlawanan akhir Sukan SEA,” katanya. - UPM

SXEaSAW~