Bangku Rekaan UPM Boleh Serikan Sebarang Rumah Atau Ruang Istirahat | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Bangku rekaan UPM boleh serikan sebarang rumah atau ruang istirahat

Bangku rekaan UPM boleh serikan sebarang rumah atau ruang istirahat

Oleh Kuah Guan Oo
Gambar oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 15 April (UPM) – Bangku panjang direka di bawah satu projek khas yang dipimpin oleh seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk taman awam bukan saja unik tetapi juga berestetika hingga mampu mentakrif semula erti sebenar berehat dan beriadah di tempat-tempat awam.

Projek itu dibangunkan daripada hasil projek reka bentuk pelajar tahun akhir. Diperbuat keseluruhannya daripada meranti, iaitu  kayu tropika yang mahal, bangku panjang yang fleksibel itu dipanggil Congrex, kata pemimpin projek, Dr Ahmad Rizal Hj Abd Rahman, ketua Jabatan Rekabentuk Industri Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina UPM.

Bangku panjang yang kukuh dengan butiran kayu yang jelas kelihatan dengan mudah menampilkan suasana hebat dan anggun kepada sebarang taman dan inilah yang mungkin mempengaruhi para juri untuk menganugerahkan Congrex dengan sebutir pingat Emas di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2012.

Bagaimanapun, ia terlalu berharga dan seharusnya digunakan untuk menghiasi rumah-rumah dan ruang istirahat, sedang versi yang lebih murah digunakan untuk taman-taman awam.

“Iya, kita sedang meneliti bahan-bahan lain seperti  gentian, keluli tahan karat, konkrit atau komposit untuk merekabentuk  semula bangku-bangku itu tanpa mengorbankan sebarang daripada daya tarikan dan nilai estetikanya,” kata Dr Rizal.

Beliau setuju bahawa kayu nyatoh terlalu mahal untuk didedahkan kepada keadaan di sesebuah taman awam, kecuali ia diletakkan dalam tempat yang tertutup dengan tidak ada atau kurang peluang dirosakkan atau dicuri.

Bagaimanapun, beliau tetap gembira bangku-bangku panjang yang asal yang telah dipatenkan ditempatkan di ruang khusus di sebarang rumah persendirian, rumah besar atau ruang istirahat awam.



Dalam melakar rekabentuk yang merangkul anugerah itu, beliau menjelaskan bahawa pertama-tama sekali mereka perlu memerhatikan bagaimana penduduk Malaysia berkelakuan dalam taman awam dalam hubungan dengan cuaca dan alam sekitar.

“Mereka biasanya suka makan dan berbual-bual  di taman,” kata beliau, sambil menambah bahawa  sebab itulah beliau memutuskan untuk merekabentuk konsep modular bagi membolehkan mereka memindahkan bangku-bangku itu mengikut keselesaan mereka.

Tidak seperti kerusi biasa di mana orang perlu duduk sebelah menyebelah, bangku modular ini boleh dipanjangkan dengan menambah lebih banyak meja dan bangku, menjadikannya lebih sesuai untuk memenuhi keperluan manusia.

Kemudian, mereka harus memikirkan juga aspek-aspek fizikal dan bukan fizikal rekabentuk berkenaan.

Aspek fizikal meliputi jenis bahan, warna, pekilangan manakala  ciri-ciri bukan fizikal adalah budaya, mutu estetika dan juga sebab-sebab boleh menimbulkan kenangan suka duka.

“Anda tahu, apabila anda menjadi lebih sejagat, maka anda pasti mahu terus berpaut kepada asal usul atau budaya anda,” kata Dr Rizal sambil tertawa.

Untuk memberi gambaran lebih jelas, beliau merujuk kepada kartun Lat di mana kartunis terkenal itu menggunakan baldi  untuk menyiram kepalanya ketika mandi, dan bukannya paip penyiram sepeti dalam kebanyakan rumah di bandar.

Oleh kerana itu, kata Dr Rizal awal daripada itu, beliau telah merekabentuk bangku-bangku dengan kerangka wau bulan yang menjadi kegemarannya.

 Bagi bangku-bangku Congrex, Dr Rizal berkata ia direkabentuk dan dibina sebagai perabot bernilai tinggi dalam usaha untuk mewujudkan ‘karakter’ dan cukup unik untuk menjadi bahan simpan penggemar.

Prototaip Congrex yang menelan belanja kira-kira RM3,000 untuk dibina sudah pun dibeli oleh seorang arkitek dengan harga lebih dua kali ganda sebelum MTE lagi. “Arkitek itu mahukan bangku-bangku itu untuk rumah beliau,” kata Dr Rizal.

Produk ini telah didaftar di bawah Rekabentuk Industri (ID - Industrial Design) atas nama Dr Ahmad Rizal, Ruhaizin Sulaiman dan pelajar Fatin Hamidah Mahidin. – upm.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Dr Ahmad Rizal Abd Rahman

Tel: +603 8946 4096

Email: rizalrahman@putra.upm.edu.my

- kgo/agn


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566638555