| Universiti Putra Malaysia

350 sertai IABS 2022 kongsi penerokaan baharu bidang anatomi dan bioperubatan

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Haron  

 

SERDANG, 22 Nov - Seramai 350 peserta dalam bidang Anatomi, Sains Kesihatan dan disiplin berkaitan menyertai Persidangan Saintifik Anatomi dan Bioperubatan Antarabangsa ke-3 2022 (IABS2022) secara hibrid yang dianjurkan oleh Jabatan Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, UPM dengan kerjasama Universitas Brawijaya, Indonesia, bermula 22 hingga 24 November ini.

Persidangan yang bertemakan "Era Baharu Sains Kesihatan Ke Arah Ekosistem Inklusif dan Lestari" mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada negara luar seperti India, Indonesia, Nigeria, Pakistan serta beberapa negara lain yang berkongsi usaha serta penemuan bagi perkembangan bidang ini.

Naib Canselor UPM, YH. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata persidangan seperti ini merupakan salah satu tempat utama untuk saintis berkongsi penemuan serta idea mereka kepada masyarakat.

“Penyelidik, sama ada ahli akademik atau bukan akademik, akan membentangkan dan membincangkan penerokaan baharu dalam bidang ini yang akan menjadi pemangkin kepada penemuan inovatif kesihatan dan kesejahteraan bersama.

“Kita semua sedar bahawa persekitaran penyelidikan universiti yang mantap menghasilkan pengeluaran penyelidikan yang konsisten, cekap dan mencukupi,” katanya.

YH. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan juga berharap agar setiap peserta dapat menggunakan persidangan ini untuk membina rangkaian sebanyak mungkin selain berkongsi idea bernas agar boleh diaplikasikan di UPM dan universiti lain di seluruh dunia.-UPM

SXEaKA0~