| Universiti Putra Malaysia

22 negara sertai persidangan ICRAAM 2020

 

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Seramai 120 orang peserta dari 22 negara menghadiri persidangan antarabangsa International Conference on Recent Advances in Applied Mathematics 2020 (ICRAAM 2020), di sini.

Mereka termasuk dari Bangladesh, India, Indonesia, Iraq, Iran, Itali, Jepun, Jordan, Kenya, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Palestin, Filipina, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Thailand, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, dan Uzbekistan.

ICRAAM 2020 dianjurkan bersama Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM); Jabatan Matematik, Fakulti Sains, UPM; dan COMSATS University Islamabad, Pakistan.

Ia dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengarah, UPM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon. 

Persidangan meliputi kepelbagaian bidang dalam matematik gunaan, (applied mathematics) termasuk Cosmology, Fluid Dynamics, Geometric Numerical Integration, Numerical Computation, Difference Equations, Numerical Analysis, Mathematical Cryptology, dan Statistics and Operational Research.

“Persidangan ini membolehkan peserta mengetahui perkembangan terkini dalam sains dan aplikasi matematik khususnya dalam topik-topik itu,” kata Tan Sri Dr. Ghauth ketika merasmikannya. 

Penganjuran ICRAAM 2020 adalah bagi memastikan aktiviti penyelidikan matematik sentiasa mengikut perkembangan terkini dan penemuan baharu dapat membantu penyelidik untuk lebih peka kepada isu-isu semasa.

INSPEM UPM juga dapat meluaskan skop jaringan penyelidikannya menerusi jaringan kerjasama bersama institusi dan agensi luar bagi memantapkan lagi penyelidikan dan sebagai satu daripada sumber penjanaan kewangan. - UPM

 

SXEbFAg~