| Universiti Putra Malaysia

10 pelajar PROBEST tuai lebih 1500kg cili merah

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari 
 
 
SERDANG, 24 Feb – Seramai 10 orang pelajar Program Pembangunan Belia Tani Dikalangan Siswazah (PROBEST) yang mengikuti Modul Tanaman Cili berjaya menghasilkan cili merah lebih dari 1500 kilogram (kg) pada tuaian musim pertama di sini, baru-baru ini.
 
Pelajar Bacelor Sains Hortikultur Dengan Kepujian, Amira Najiha Md Ismail, 23, meluahkan rasa gembira dapat menghasilkan buah cili yang segar dan sihat sejak penanamannya pada November tahun lalu.
 
“Projek ini telah dilakukan di bawah laluan Jalinan Transit Ekspres (ERL) dengan penyediaan tapak cili bermula Oktober 2023 dan penanamannya pula pada bulan November 2023 sehingga sekarang.
 
“Kami menjangkakan penanaman ini akan tamat sepenuhnya pada bulan hadapan,” katanya.
 
 
Tambahnya, banyak pengetahuan baharu yang dipelajari hasil penyertaannya dalam PROBEST seperti laluan untuk membuka ladang, cara penjagaan pokok agar kekal subur daripada biji benih, meracun hingga musim menuai.
 
“Saya turut mempelajari cara untuk memastikan pokok dapat mengeluarkan buah yang lebat dan sihat, pengurusan masa, berbincang untuk mencapai kata sepakat dengan peserta lain, mengurus kewangan, dan kaedah untuk mencapai target jualan,” katanya.
 
Beliau akui ilmu baharu yang ditimba ini secara tidak langsung meyakinkannya untuk berani berhadapan dengan cabaran mendatang selain mempunyai nilai tambah pada diri.
 
Sementara itu, Pengarah Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Sakimin berkata penglibatan pelajar dalam program ini mendukung matlamat UPM untuk melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang.
 
 
“Para peserta diajar cara menjana pendapatan mereka sendiri semasa di dalam kampus sekiranya fokus dan komitmen yang tinggi diberikan sepanjang program ini berlangsung.
 
“Bidang pertanian adalah salah satu cabang untuk melahirkan siswa dan siswi yang aktif bertani selain dapat dilatih menjadi usahawan untuk meningkatkan prestasi keterjaminan makanan dan ekonomi negara,” katanya.
 
Jelasnya, program ini telah dilaksanakan di bawah laluan Jalinan Transit Ekspres (ERL) sebagai strategi memanfaatkan kawasan lapang bagi tujuan keterjaminan makanan dan ianya telah juga mendapat sokongan yang baik dari Kementerian Pengangkutan Malaysia.
 
 
Aplikasi sistem fertigasi telah digunakan bagi memudahkan para peserta untuk menjaga kesuburan pokok, serta menjadi model yang baik dalam menjayakan amalan pertanian bandar.
 
Katanya PROBEST turut mendapat bimbingan serta pemantauan daripada industri luar iaitu Pewaris Bumi Hijau Sdn Bhd sejak pembukaan tapak tanaman, penjagaan pokok hingga tuaian.
 
 
Penglibatran ini secara tidak langsung mendukung Pelan Strategik UPM 2021-2025, matlamat 3 iaitu Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat.
 
Terdahulu PROBEST mendapat sokongan pendanaan oleh Bank Pertanian Malaysia (Agrobank) dan Takaful Malaysia melalui dana wakaf dan WAZAN UPM. -UPM

SXEdOA~