| Universiti Putra Malaysia

Naib Canselor serah Bendera UPM Di Puncak Dunia kepada ‘Ravi Everest’

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

SERDANG, 21 Mac - Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman menyerahkan Bendera UPM Di Puncak Dunia@Everest buat julung kalinya kepada Pemegang Malaysia Book of Record, Ravichandran Tharumalingam yang juga alumni UPM kelas 1990.

Serahan Bendera UPM Di Puncak Dunia @ Everest kepada Ravichandran untuk dikibarkan buat pertama kalinya di Gunung Everest telah disaksikan graduan Majlis Konvokesyen ke-45 pada pagi ini di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Ravichandran mengatakan bahawa alumni UPM melaksanakan satu pelan yang sangat baik bagi semua atlet berbakti semula dan menaikkan kembali nama UPM dengan menyumbang bakti kepada pelajar di sini.

“Sejak tiga tahun lalu, Pusat Perhubungan Alumni UPM dengan persatuan Alumni UPM cuba membawa Alumni sukan yang berjaya supaya menjadi contoh kepada pelajar UPM,” katanya.

Memetik ucapan Prof. Dato’ Dr. Mohd. Roslan, “Misi UPM di Puncak Dunia@Everest” adalah satu misi untuk meletakkan UPM sebagai universiti pertama yang mengibarkan bendera ke Gunung Everest oleh alumninya.

Berkibarnya bendera UPM di sana nanti, sebagai suatu simbolik kepada UPM sebagai sebuah menara ilmu yang bersedia untuk mendepani cabaran bagi memastikan hasrat yang ditetapkan dalam pelan Strategik UPM dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.

“Saya berharap majlis yang diadakan seiring dengan Majlis Konvokesyen UPM kali ke-45 ini akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada warga universiti untuk terus menyokong sumbangan alumni UPM tidak kira tempat dan waktu,” katanya.

Terdahulu, Prof. Dato’ Dr. Mohd Roslan telah melancarkan misi UPM di Puncak Dunia@Everest dalam Majlis Naratif Naib Canselor 2022 Melibat sama Alumni Untuk Kelangsungan Universiti.

Ekspedisi yang dijangka bermula pada pertengahan Mac dan berakhir pada Julai 2022 ini boleh disaksikan oleh seluruh warga UPM menerusi TikTok@UniPutra yang akan merakam dan mendokumentasikan setiap perjalanan menuju ke Puncak Everest. - UPM

SXFFQA5~