| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah veterinar UPM kongsi ilmu penternakan

Oleh: Dr Nur Mahiza Md Isa

 

PANTAI REMIS, 31 Mac -  Pensyarah Veterinar Universiti Putra (UPM) berkongsi ilmu dengan penternak-penternak ruminan pada program Seminar Ternakan di Pantai Remis, Perak di sini.

Progrm itu diadakan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Group Transformation Ruminant (GTR) Utara 2018.

Setiausaha pertubuhan GTR, Azhan Jamaluddin  berkata, pihaknya menjemput UPM kerana menyedari pentingnya ilmu berkaitan pembiakbakaan, vaksin dan pengawalan cacing bagi memajukan industri ruminan.

Ketua program itu, yang juga Pakar Parasitologi, Dr Nur Mahiza Md Isa pula berkata program berkenaan mendapat sambutan baik daripada para penternak yang proaktif untuk menambahkan kemahiran ilmu di bidang ternakan.

Antara topik yang dibincangkan bersama penternak adalah ‘Penternakan Kambing Boer’, ‘Kepentingan Vaksin HS & FMD’ dan ‘Penyakit Kecacingan Ruminan’.

Pakar produksi ternakan UPM, Dr Lokman Hakim Idris yang bersama program itu berkata, program seumpama itu juga perlu diadakan bersama para penternak di tempat lain.

Katanya, melalui program seperti itu penternak memperoleh maklumat terkini berkenaan ilmu ternakan, mengetahui siapa yang perlu dirujuk, dan prosedur yang perlu dilakukan jika haiwan ternakan mempunyai masalah seperti kecacingan.

Pakar Genetik Veterinar, Dr Shahrom Salisi berkata seminar itu memberi peluang kepada ahli akademik dan peserta bertukar pandangan serta memperoleh ilmu baharu.

“Program ini menambahkan jalinan masyarakat dengan ahli akademik. Peserta seminar juga dapat berkomunikasi secara terus bersama pakar, dan dapat mengetahui cara mengoptimumkan produksi melalui aplikasi ilmu genetik pembiakbakaan,” katanya. - UPM

WXFDRAN~