| Universiti Putra Malaysia

UPM ungguli cabaran inovasi Industri-Universiti Intel

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari


Pulau Pinang, 5 November - Empat pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diwakili oleh pelajar-pelajar Fakulti Kejuruteraan (FK) melakar kenangan manis apabila meraih johan, naib johan dan tempat ketiga dalam pertandingan Cabaran Industri-Universiti 2022.

Pasukan UPM_AMT yang diwakili oleh pelajar semester tiga, Bacelor Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Dengan Kepujian, Wong Chee Kin, Lee Kwen Wai dan Chai Rong Qian diumumkan sebagai johan bagi kategori Pasaraya Peruncitan Pintar (i-Trolley) dengan membawa pulang hadiah tiga unit komputer riba, Microsoft Surface Laptop Go.

Bagi kategori Bantuan Bencana Pintar – Banjir, UPM yang diwakili oleh kumpulan Brain Drain dengan Teknologi Sistem Bantuan Banjir Bersepadu (i-FAST) telah meraih naib johan dan membawa pulang lima unit Projektor Xiaomi sebagai hadiah kemenangan.

Sementara itu, bagi kategori yang sama dua pasukan iaitu UPM_Beta dan Lilac mendapat tempat ketiga dengan inovasi Tali Tangan Internet Perkara (ELIOT) yang boleh diperluaskan dan masing-masing memperoleh hadiah sembilan unit Google Nest Mini 2nd Gen.

Pensyarah Kanan FK, UPM, Dr. Luthffi Idzhar Ismail yang juga penasihat pasukan UPM_AMT berkata pertandingan ini menyediakan platform kepada peserta untuk mencabar diri menjana idea inovatif dan membangunkan penyelesaian yang berkesan.

“Program ini telah berjaya menarik minat ramai peserta dari universiti dan industri sejak ia dilancarkan pada 2017 anjuran Intel dengan kerjasama The Catalyst For Malaysia's Technology Ecosystem (CREST).

“Justeru, kami ingin merakamkan penghargaan kepada UPM, INTEL, CREST dan semua juri atas peluang serta sokongan atas kemenangan yang telah dicapai bersama empat pasukan ini,” katanya.

Cabaran Industri-Universiti 2022 ialah cabaran inovasi nasional yang telah ditubuhkan sejak 2017 bagi memfokuskan inovasi Peruncitan Pintar, Bandar dan Penyelesaian Industri menggunakan teknologi Internet Perkara (IoT) dan Kepintaran Buatan (AI).

WXFDHAy~