| Universiti Putra Malaysia

Staf UPM terpilih sertai Program Mobiliti Antarabangsa ICM Staff Week at UMinho di Portugal

Oleh: Shahriah Membar

BRAGA, PORTUGAL – Inti pati pengantarabangsaan adalah untuk belajar daripada budaya lain, melaksanakan idea baharu, meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan serta meningkatkan kerjasama antarabangsa dan pembinaan kapasiti.

Bagi menyokong agenda ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini telah meletakkan penanda aras yang tinggi bagi pemerkasaan proses pengantarabangsaan dengan penyertaan dua staf UPM untuk Program Mobiliti Antarabangsa ICM Staff Week at UMinho di Universidade do Minho, Portugal pada 4 hingga 8 Julai 2022 menggunakan geran ERASMUS+.

Staf UPM diwakili oleh Penolong Pendaftar Kanan, Seksyen Penyelidikan, Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat, Institut Biosains (IBS), UPM, Shahriah Membar dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), UPM, Dr. Nor Akmar Abdul Aziz yang merupakan satu-satunya wakil universiti dari Malaysia.

Program mobiliti itu telah dihadiri oleh 46 peserta dari 26 buah negara Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Selatan.

Program tersebut bertujuan untuk memberi latihan serta meningkatkan kemahiran staf di kalangan rakan kerjasama serta adalah peluang terbaik untuk bertemu rakan sekerja dari universiti lain di peringkat antarabangsa.

Selain itu, dengan perkongsian ilmu dan pengalaman dapat menjalinkan rangkaian kerjasama yang baharu sekali gus mempromosi UPM di peringkat antarabangsa.

Pelbagai pengisian disediakan oleh Universidade do Minho termasuk lawatan fasiliti, perbincangan perjanjian persefahaman antara universiti, program silang budaya dan perbincangan berkaitan program mobiliti staf dan pelajar antara kedua-dua universiti.

Pertemuan bersama wakil dari International Relations Office Universidade du Minho telah membawa kepada persetujuan pelaksanaan program mobiliti pelajar dalam talian dan berpotensi melibatkan pelajar dari seluruh negara. - UPM

WXFFKAY~