| Universiti Putra Malaysia

PELBAGAI CABARAN DIHARUNGI, GURU VOKASIONAL MENENGAH ATAS BERGRADUAT MASTER DI UPM

Oleh: Nursyafiqa Razali
Pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia

SERDANG, 24 MAC­ – “Alhamdulillah saya merupakan seorang guru dan ibu kepada tujuh orang cahaya mata yang berjaya mengharungi perjuangan sepanjang pengajian di peringkat Master sehingga ke penghujungnya walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran,” kata graduan Master dalam bidang Pendidikan Pentadbiran, Saptuyah Latif.

Saptuyah, 40, telah berjaya bergraduat pada hari ini dalam Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ke-45.

Menurut Saptuyah, sepanjang pengajiannya beliau perlu menghadapi cabaran yang amat besar seperti keguguran kandungan, mengandung anak ketujuh dan perlu menghabiskan projek dalam pantang.

“Alhamdulillah sepanjang tempoh pengajian saya telah berjaya memperolehi dua kali dengan keputusan cemerlang 4 flat dalam dua semester,” katanya.

Bagi beliau, antara tips pembelajaran yang dipraktikkan adalah sebagai mahasiswa perlu fokus pada perkara yang kita ingin lakukan, jangan pernah sesekali pandang ke belakang dan sentiasa membuat sehabis baik.

Beliau yang berasal dari Kuching, Sarawak turut berterima kasih dan bersyukur kepada suaminya yang sentiasa menyokong dan turut membantu beliau sepanjang pengajiannya terutama sekali dalam hal rumahtangga seperti menjaga anak-anak.

Tambahnya lagi, dalam pengurusan masa beliau memberi sepenuh perhatian semasa di dalam kelas, menghantar setiap tugasan pada masa yang ditetapkan.

Apabila ditanya mengenai kenangan manis dan pahit sepanjang tempoh pengajian beliau berkata kebanyakannya adalah kenangan manis iaitu beliau berpeluang berkenalan dengan pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang. - UPM

WXFIRA~