| Universiti Putra Malaysia

MASALAH PENDENGARAN TIDAK HALANG GRADUAN OKU AKTIF DI KAMPUS

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 23 Mac - Graduan Bacelor Sains (Sains Bioperubatan), Hazmin Hazman, 24, yang bergraduat pada hari ini di Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 tidak pernah merasakan masalah pendengaran yang dihadapinya sejak kecil sebagai satu beban untuk tidak aktif ketika di kampus.

Katanya, sejak di semester pertama berada di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) beliau telah aktif menyertai pelbagai aktiviti dan persatuan seperti teater pentas, koir dan menjadi presiden persatuan OKU UPM.

“Kadang-kadang saya terlupa hendak memakai alat bantu dengar kerana terlalu seronok dan sibuk sertai aktiviti. Pesanan saya kepada pelajar-pelajar OKU lupakan bebanan OKU itu dan tingkatkan semangat kita.

“Tidak perlu simpan kelebihan yang kita ada, beranikan diri untuk mencuba sebab kita adalah permata yang unik dan sertailah banyak aktiviti dalam UPM,” katanya.

Anak kedua daripada empat adik beradik itu mengakui bahawa beliau agak sukar untuk mendengar dengan baik ketika pembelajaran di dalam kelas.

“Apa yang saya lakukan adalah saya perlu terus berjumpa pensyarah selepas kelas untuk bertanya semula dan meluangkan lebih banyak masa di perpustakaan untuk membaca buku bagi lebih memahami sesuatu perkara.

“Masa saya banyak dihabiskan di perpustakaan sahaja dan kadang-kadang tidak sempat untuk berjumpa pensyarah disebabkan jadual kelas yang padat,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada para pensyarah yang membantu mengutip dana untuk membantu bayaran membaiki alat pendengarannya di samping pihak WAZAN dan unit OKU UPM yang sentiasa menghulurkan bantuan. - UPM

SXFCWAU~