| Universiti Putra Malaysia

Graduan wajib bersikap profesional, beretika, amanah dalam tuntutan pekerjaan

Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Seksyen Media Kreatif, PSPK

SERDANG, 20 Mac: Graduan wajib bersikap profesional, beretika dan amanah dalam sebarang tuntutan pekerjaan, kata Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman.

Katanya, mereka juga perlu sentiasa cermat dan bertanggungjawab dalam apa juga tindakan kerana merekalah yang akan mewarisi negara dan mempertahankan peradaban.

Dalam hubungan itu, katanya, sifat ihsan yang terpatri sebagai juzuk utama nilai luhur kemanusiaan amat penting untuk dihayati.

“Lebih menebal nilai Ihsan dalam diri seseorang, maka lebih tinggilah nilai integriti yang akan dizahirkan melalui sikap dan tindakannya,” katanya ketika berucap pada Sesi 2, Majlis Konvokesyen UPM ke-45, di sini hari ini.

Pada sesi itu Pro-Canselor UPM, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Ijazah Sarjana (Master), Bacelor dan Diploma kepada 1,022 graduan.

Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan berkata, untuk merealisasikan hasrat murni itu, UPM telah meletakkan usaha untuk melahirkan watak graduan yang berdaya tahan mendepani cabaran mendatang sebagai salah satu daripada matlamat utama dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang dilancarkan tahun lalu.

Katanya, prakarsa UPM ini akan digerakkan melalui beberapa pendekatan antaranya dengan usaha melahirkan pelajar yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global serta memperkukuhkan jati diri, perpaduan dan semangat patriotisme pelajar selari dengan aspirasi nasional.

“Secara tuntasnya, pelajar yang dibekalkan dengan kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah ini, bukan sahaja berupaya menjadi insan unggul, bahkan mampu menerajui seruan Al-Falah yang bergerak sederap untuk menuju kejayaan secara bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata, dengan ciri-ciri graduan yang dihasratkan oleh UPM itu, mereka boleh menjadi agen perubahan dan adiwira kemanusiaan kepada komuniti dan seluruh masyarakat ke arah kesejahteraan hidup bagi menuju kejayaan di dunia dan akhirat.

“UPM tetap dan sentiasa memastikan sahsiah dan pembangunan semua pelajar menjadi agenda utama dalam mengejar kejayaan. Hal ini kerana individu yang memperoleh kejayaan akademik akan lebih unggul dengan mempunyai sahsiah, budi pekerti dan perwatakan yang terpuji,” katanya. - UPM.

SXFDUAk~