| Universiti Putra Malaysia

FBMK anjur Apresiasi Seni Sastera bersama Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Sabri Omar


SERDANG, 4 Julai - Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan program Apresiasi Seni Sastera Bersama Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 sehingga 6 Julai ini membuka tirainya hari ini dengan bual bicara bersama karya Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon.

Menariknya hasil karya Datuk Dr. Siti Zainon termasuk lukisan dan busananya akan dipamerkan di Muzium Warisan FBMK pada 6 Julai ini dan terbuka kepada semua pengunjung bermula 9.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari.

Datuk Dr. Siti Zainon yang lebih mesra dengan bonda berkata sastera dan bahasa yang paling awal dalam kehidupan manusia ialah pengenalan abjad ABC, huruf jawi dan nombor.

“Apabila kita membezakan sastera dan sain seolah-olah menunjukkan sastera ini bidang yang tidak laku. Jika begitu mengapa anda boleh bercakap? Lebih baik membisu sahaja.

“Oleh kerana itu, pentingnya adab dan budi yang kita kenali sebagai budaya. Budaya bukan sahaja seni tari namun ia juga merupakan akal dan jiwa,” katanya ketika bual bicara di Dewan Za’ba, FBMK di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bahasa Melayu FBMK UPM, Prof. Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi berkata program seperti ini amat besar ertinya kepada fakulti, kerana sebagai entiti ilmu ia menerapkan semangat cintakan persuratan Melayu dalam kalangan pelajar.

"Saya yakin, aktiviti seperti ini dapat memberikan nilai tambah kepada pelajar, dengan berbumbukan nilai murni dan etika yang tinggi," katanya.

Datuk Dr. Siti Zainon Ismail merupakan Sasterawan Negara ke-14 dan Profesor Adjung FBMK, UPM.- UPM

WXFFLAL~