| Universiti Putra Malaysia

Fatin Amirah YDPA MPP UPM sesi 2022/2023

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar  

SERDANG, 5 April - Pelajar tahun tiga Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM), Fatin Amirah Mohd Hisham dilantik menjadi Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2022/2023.

Penyerahan watikah pelantikan telah disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman di Dewan Senat, Bangunan Canselori Putra, UPM, dekat sini, malam tadi.

Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan berkata MPP merupakan tulang belakang pengurusan universiti dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa UPM.

“Gunakan kepercayaan yang diberikan sebaik mungkin bagi kesejahteraan warga kampus. MPP UPM adalah agen penghubung antara pihak pengurusan dan pelajar UPM dalam memastikan komunikasi serta maklumat yang berkesan sampai kepada para pelajar," katanya.

Sementara itu, Fatin Amirah berharap agar kepimpinannya mampu meneruskan kecemerlangan MPP sebelum ini dan menyokong amanat yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke arah kesatuan mahasiswa.

"Sepanjang kepimpinan saya, tiga teras utama yang akan saya pegang iaitu memperkasakan autonomi mahasiswa, kebajikan pelajar keutamaan bersama dan kebersamaan dalam kepimpinan UPM," katanya ketika ditemui selepas majlis watikah pelantikan MPP sesi 2022/2023.

Pada watikah kali ini, seramai 44 orang pelajar telah dipilih menjalankan tanggungjawab sebagai MPP. - UPM

SXFDKAm~