| Universiti Putra Malaysia

Pelajar OKU teruja untuk mulakan kuliah di FBMK

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 6 Okt - Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Tan Shieh Li memilih Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah.

Beliau yang mempunyai masalah penglihatan berkata akan melakukan yang terbaik sepanjang pengajiannya dan berasa gembira dengan layanan yang diberikan oleh Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM ketika menyambutnya membuat pendaftaran kemasukan pelajar baharu sesi  2022/2023 di Kolej 12, UPM.

“Saya mempunyai pengalaman tinggal di asrama ketika sekolah menengah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Setapak. Jadi, saya mungkin tiada masalah untuk menguruskan diri di sini dan membuat yang terbaik untuk lulus dengan cemerlang.

“Sekiranya saya mempunyai masalah saya akan berhubung terus dengan unit OKU UPM dan setakat ini saya berpuas hati dengan fasiliti OKU yang telah disediakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Marlinah Muslim berkata pihaknya akan sentiasa membantu pelajar OKU yang menyambung pengajian mereka di sini.

“Pihak kami akan memberi perhatian yang sewajarnya kepada pelajar OKU UPM dan membantu mereka sekiranya mempunyai sebarang masalah. Di UPM kita juga mempunyai beberapa bilik penginapan OKU untuk kemudahan dan keselesaan mereka.

“Kelengkapan bilik belajar khas di kolej, laluan khas penglihatan bahkan van khas turut disediakan untuk memudahkan urusan mereka. UPM juga mempunyai bilik OKU untuk orang kerdil dan berkerusi roda yang mana suisnya juga sedikit rendah bagi membantu mereka." katanya. – UPM

WXFCVA2~