| Universiti Putra Malaysia

16 Produk Berasaskan Teknologi Nano Dipamerkan Sempena Hari Inovasi ION2 UPM

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Noor Azreen Awang   

SERDANG, 14 Jun- Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyambut Hari Inovasi ION2 bersempena Sambutan Jubli Emas 50 tahun yang memamerkan 16 produk berasaskan teknologi nano. 

Pengarah ION2, Prof Dr Mohd Nizar Hamidon berkata penganjuran program itu mempamerkan hasil-hasil penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan, di samping berhubung dengan agensi dan industri tempatan untuk bersama-sama membangunkan teknologi nano dalam hasil produk tempatan menurut. 

“Program ini juga dalam pada masa yang sama memberi peluang kepada ION2 untuk terus meningkatkan keterlihatan sebagai institut yang berfokuskan kepada nanoteknologi, terutamanya selepas penjenamaan semula pada 15 November 2021 yang lepas.

“Secara ringkasnya, ION2 pada awalnya dikenali sebagai Institut Teknologi Maju atau ITMA dan ditubuhkan pada 1 November 1999 bertujuan untuk memacu penyelidikan teknologi termaju dalam bidang sains fizikal, teknologi maklumat dan kejuruteraan.

“Dengan beberapa kali penstrukturan yang telah berlaku sepanjang 20 tahun, ITMA telah berada di landasan yang terbaik dalam penyelidikan berfokuskan nanoteknologi dan bahan termaju, dan telah dicadangkan untuk menukar nama institut kepada nama yang dapat melambangkan fokus tujahan institut,” katanya.

Turut hadir pada Hari Inovasi ION2, Ahli Lembaga Pengarah, UPM, Dato Dr. Hasan Mad dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari.

Tambah beliau, penyelidik- penyelidik juga semakin aktif dalam usaha mengkomersialkan produk penyelidikan, contohnya seperti pes konduktif organik untuk litar boleh cetak, teknologi nanoderma untuk rawatan penyakit kelapa sawit, penggalak enjin yang menggunakan grafin, kit pengesanan virus tuberculosis (TB) dan juga penggalak fotosintesis menggunakan ‘carbon dots’ atau titik karbon.

“Kesemua pengkomersilan produk ini berjaya dilaksanakan hasil kerjasama antara penyelidik institut dengan Putra Science Park di bawah program Innohub.

“Usaha ini juga adalah untuk mendukung Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara 2021- 2030 (DSNN) yang telah dilancarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 15 November 2021, yang merangkumi 4 teras strategik, termasuklah usaha meningkatkan pengkomersialan dan memacu industri. Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara yang juga telah dilancarkan oleh MOSTI pada 13 April 2022,” katanya.

Pada sambutan ION 2 hari ini, sebanyak 16 pameran produk-produk dan teknologi berasaskan nano di UPM yang sedia dikomersialkan telah dipamerkan bertujuan untuk mendapatkan peluang pengkomersialan dengan pihak industri dan agensi tempatan. - UPM

WXFFIAX~