| Universiti Putra Malaysia

Usia emas bukan penghalang tamatkan PHD

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Seksyen Media Kreatif dan Visibiliti Korporat

SERDANG, 23 Mac - Meskipun sudah menjangkau usia emas namun ia bukan penghalang bagi Dr. Shaikh Mansoor Shaikh Ahmad, 68, menamatkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 pada hari ini.

Beliau dikurniakan sembilan orang anak dan sembilan cucu menyatakan rasa kesyukuran usaha murninya tidak dihalang dan mendapat sokongan penuh daripada isteri dan anak-anak beliau.

“Sepanjang perjalanan memperoleh PhD, saya telah mendapat sokongan padu keluarga dan penyelia serta ahli jawatan kuasa penyeliaan. Selain bertukar penyelia sebanyak dua kali disebabkan faktor persaraan, saya banyak mendapat galakan daripada rakan-rakan PhD dari luar negara seperti Syria, Nigeria, Tanzania, Iran, Yemen dan juga Bangladesh.

“Semasa sedang membuat PHD, saya juga telah menghidapi masalah jantung dan telah menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada tahun 2017 selepas proses pengumpulan data,” katanya.

Dr Shaikh berpengalaman di dalam makmal sains kimia di sebuah universiti tempatan pada tahun 1972. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran diperingkat ijazah pertama dalam bidang instrumentasi di Bristol, United Kingdom.

Sekembali daripada United Kingdom, Dr Shaikh telah berkhidmat dengan sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di dalam bidang pengurusan dan pembangunan sumber manusia selama 10 tahun.

Beliau juga bekerja sendiri sebagai pemandu teksi bajet dan eksekutif di Lembah Klang dan pengalaman pemanduan teksi telah mengajar beliau erti berdikari, berurusan dengan pelanggan teksi daripada pelbagai kategori dan lapisan masyarakat di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Menuntut ilmu adalah sesuatu yang anda miliki dan tak boleh dicuri jika saya tak benarkan, sekeping ijazah hanyalah sijil, tetapi ilmu yang diperolehi dapat digunakan kepada pembangunan,” katanya. - UPM

SXDdEAj~