| Universiti Putra Malaysia

UPM, ELANCO perkukuh sinergi akademia-industri bidang veterinar

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

SERDANG, 21 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) memperkukuh kerjasama strategik bersama ELANCO Malaysia Sdn. Bhd. menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa sinergi akademia-industri dalam bidang pendidikan veterinar, penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat serta kesihatan haiwan.

 

 

Kerjasama yang diketuai oleh Ketua Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Ladang dan Eksotik, FPV UPM, Prof. Madya Dr. Rozaihan Mansor membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan bersama, program akademik, pembangunan mahasiswa serta inisiatif kemasyarakatan berkaitan kesihatan dan kebajikan haiwan.

 

 

Selain itu, majlis pertukaran MoU tersebut turut menyaksikan pengenalan Pelan Tindakan Bersama 2026–2031 serta Program Duta Mahasiswa sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keterlibatan mahasiswa UPM dengan industri.

 

 

Melalui Pelan Tindakan Bersama 2026–2031, UPM dan ELANCO bakal menjalinkan kerjasama dalam penyelidikan dan penerbitan bersama, program akademik, pembangunan mahasiswa serta inisiatif komuniti. Program Duta Mahasiswa pula bertujuan mempertingkatkan kemahiran, kesediaan kerjaya dan pendedahan industri-akademik dalam kalangan pelajar veterinar UPM.

 

 

Dekan FPV, UPM, Profesor Dr. Goh Yong Meng, berkata kerjasama strategik itu membuktikan komitmen universiti dalam mewujudkan inisiatif dan peluang pembelajaran berasaskan industri yang mampan, di samping memantapkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan menerusi sokongan kepakaran global.

 

 

“Ini adalah penting dalam memastikan kepakaran, pengetahuan dan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas kepada sektor veterinar serta komuniti,” katanya.

 

 

Country Director (Malaysia and Singapore), ELANCO, Tang Chee Ping, berkata MoU itu menjadi landasan kepada pelaksanaan kerjasama yang lebih bermakna antara kedua-dua pihak, khususnya dalam penyelidikan, pembangunan mahasiswa, pertukaran pengetahuan dan hubungan antara ekosistem kesihatan haiwan Malaysia dengan industri global.

 

 

“Kerjasama ini berpotensi diterokai dalam bidang kesihatan dan pencegahan penyakit haiwan, nutrisi, pengeluaran haiwan, diagnostik serta bidang penyelidikan baharu,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, inisiatif ini turut memberi peluang kepada mahasiswa mendapatkan pendedahan industri melalui latihan industri, program teknikal, perkongsian bersama pihak industri, pendedahan kerjaya dan kajian kes, selain memperkukuh pengetahuan berkaitan kesihatan haiwan serta amalan pertanian mampan di Malaysia.

XZJePAP~