| Universiti Putra Malaysia

UPM Tuan Rumah SUKUM Ke-44

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Harun

 

SERDANG, 16 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menjadi tuan rumah Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) Kali ke-44, pada tahun ini yang akan bermula 17 hingga 24 September ini.

Pengarah Akademi Sukan UPM, Prof. Madya Dr. Tajularipin Sulaiman berkata sebanyak 18 acara sukan akan dipertandingkan seperti Bola Sepak, Memanah, Olahraga, Bola Jaring dan Catur.

“Sehingga kini sambutan penyertaan pasukan untuk setiap acara sangat menggalakkan. Penyertaan di luar jangkaan ini mungkin disebabkan hampir tiga tahun kita tidak melakukan kejohanan SUKUM kerana COVID-19.

“Kita kini berada di fasa endemik yang memberikan kita sedikit kelonggaran untuk kembali aktif bersukan serta menyertai kejohanan SUKUM,” katanya dalam ucapan Majlis Undian Rasmi SUKUM baru-baru ini.

Beliau berkata, UPM dalam proses gerak kerja bagi persediaan penganjuran SUKUM ke-44 ini di samping jawatankuasa teknikal dan penyelaras permainan juga telah membuat lawatan ke semua lokasi kejohanan pada bulan lepas.

Katanya lagi, maklum balas daripada semua adalah positif dan lokasi yang dipilih adalah memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.

“Saya juga berharap agar rakan-rakan universiti yang lain kekal menjaga SOP yang ditetapkan bagi melancarkan perjalanan kejohanan ini dan sesiapa yang terlibat dalam kejohanan ini akan memperjuangkan semangat kesukanan serta semangat persaudaraan antara kita,” katanya.

Prof. Madya Dr. Tajularipin berkata slogan kejohanan SUKUM pada kali ini ‘Bersaing Mengecap Kemanisan Kemenangan’ dan memilih Lebah sebagai maskot SUKUM ke-44.

SXEZPAd~