| Universiti Putra Malaysia

UPM, SPRM jalin kerjasama dalam program memperkasakan pendidikan pengundi (UNDI18)

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar 

PUTRAJAYA, 16 Ogos - Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) dalam program memperkasakan pendidikan pengundi (UNDI 18).

Majlis MoU dan Nota Kerjasama Antara Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti itu dihadiri dan disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Saleh; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar; Ketua Pengarah Jabatan dan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Zainab Ahmad

Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan berkata melalui MoU itu akan memperkasakan program pendidikan Undi 18 serta dapat melaksanakan aktiviti dan program bersama pelajar UPM untuk persediaan bagi menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“UPM bersama SPRM akan bekerjasama dalam bidang pembangunan program dan penganjuran bersama dua hala serta berkaitan penerapan pendidikan pengundi dalam silibus universiti,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan pelajar melalui penglibatan sivik serta kemahiran insaniah kepada pelajar dan pembangunan sumber manusia bagi staf universiti akan dilatih untuk Training of Trainers (ToT) sebagai duta berkaitan pendidikan pengundi.

“Kerjasama berkaitan penyelidikan dan inovasi turut akan diadakan bagi memperkukuhkan lagi pemerkasaan fungsi Undi 18,” katanya.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2021/2022, Mohammad Haziq Zikri Zainuri berkata, inisiatif KPT mengadakan kerjasama bersama Universiti Awam (UA) dilihat kesungguhan YBM KPT dalam memperkasakan lagi program untuk meningkatkan kesedaran mengundi terutama untuk belia.

“Ini adalah platform dan peluang terbaik pelajar UPM untuk di manfaat serta penglibatan aktif pelajar secara langsung akan menyediakan generasi muda mendalami kepimpinan negara demi masa hadapan negara,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, Dato’ Hj. Megat Sany megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM, Nuruliman Ibrahim.

SXEZTAw~