| Universiti Putra Malaysia

UPM Sertai Projek Rintis Platform Sains terbuka Malaysia

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mozaid Idris


KUALA LUMPUR, 14 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoU) Projek Rintis Malaysia Open Science Platform (MOSP) bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) pada hari ini bagi memperkukuh amalan perkongsian data mentah penyelidikan negara.

MOSP antara inisiatif di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi 2021-2030 untuk menggalakkan perkongsian data terbuka bagi pembangunan teknologi melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) dalam penyelidikan, pemain industri dan masyarakat sivil.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr Nazamid Saari, hadir mewakili Naib Canselor UPM, YH. Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman ke majlis MoU tersebut di Akademi Sains Malaysia di sini hari ini.

MoU itu turut ditandatangani oleh empat lagi universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Melalui platform ini, MOSP dijangka dapat mula diakses oleh orang awam pada Disember 2022 berkenaan maklumat projek penyelidikan yang telah dan sedang dijalankan oleh lima universiti penyelidikan tersebut.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam ucapannya berkata inisiatif ini bakal meningkatkan hasil penyelidikan, sekaligus menghasilkan sebuah penyelesaian yang baik untuk pelbagai isu terkini negara serta mengurangkan pengulangan atau pertindihan penyelidikan yang akan dijalankan pada masa hadapan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi ASM mula menerajui inisiatif MOSP pada penghujung 2019 bertujuan untuk memudahkan penyelidik Malaysia berkongsi data mentah penyelidikan mereka. – UPM.

SXDdJAV~