| Universiti Putra Malaysia

UPM sedia latihan bidang pertanian Usahawantani Putra untuk anggota ATM yang bakal bersara

 
 
SERDANG, 11 Julai – Pusat Pertaniah Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkolaborasi melaksanakan program Usahawan Tani Putra bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dengan menyediakan latihan dan bimbingan berstruktur dalam bidang pertanian khusus untuk Anggota Tentera Malaysia (ATM) yang akan bersara dan Veteran.
 
Program itu bagi melahirkan usahawantani moden sebagai lonjakan kerjaya kedua kepada kumpulan sasar disamping menyokong inisiatif kerajaan dalam memperkasa keterjaminan makanan negara.
 
Menurut Pengarah PPP, UPM, Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Sakimin berkata, bakal pesara dan Veteran ATM yang menyertai program ini berpeluang menikmati manfaat latihan dan bimbingan yang menampilkan gabungan kepakaran teknikal UPM-PERHEBAT dalam industri pertanian.
 
 
"Kerjasama ini dapat membantu bakal pesara dan veteran ATM mempelajari ilmu menanam dengan teknik yang betul, menuai bersama akar pertanian UPM semasa berada di ladang mengikuti Latihan Dalam Industri (LDI) selama tiga hingga lima bulan di sini,” katanya.
 
"Program USAHAWANTANI PUTRA- PERHEBAT telah dilaksanakan bermula Mac tahun ini mengusahakan pertanian berkelompok dengan mengusahakan tanaman di tapak PPP UPM," katanya pada sidang akhbar di PPP UPM.
 
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari turut hadir membuat lawatan kerja ke tapak program USAHAWANTANI PUTRA-Perhebat di PPP UPM hari ini.
 
 
Sementara itu, program itu juga dapat melahirkan dan mewujudkan komuniti usahawantani dalam kalangan veteren ATM dengan bantuan daripada pakar di UPM.
 
Sarjan Teknikal Bekalan ATM, Noriah Ismail berkata, pilihan menyertai program usahawantani moden di UPM sangat membantu mendapatkan ilmu pertanian yang agak sukar diperoleh di luar kerana kosnya agak mahal.
 
"Saya akan bersara pada bulan Disember ini, selama beberapa bulan mengikuti latihan di sini sebelum bersara saya telah mempelajari mengusahakan 6,000 polibeg cili dan terung di ladang PPP UPM. Ini membuka mata saya bahawa bidang pertanian sangat meluas dan hasilnya agak tinggi walaupun agak penat," katanya.
 
Koperal ATM, Azwan Yacob berkata, penyertaan dalam program ini bakar semangatnya untuk menceburkan diri sebagai usahawan dalam bidang pertanian moden selepas bersara kelak.
 
"Menerusi latihan amali di ladang yang melibatkan pembelajaran dalam bidang pengurusan ladang, kawalan penyakit, amalan lepas tuai dan pemasaran secara langsung melatih saya untuk mengendalikan projek perniagaan dengan lebih teratur serta memberi keuntungan dengan mengusahakan pertanian di Perlis selepas bersara," katanya. - UPM

WXFMOAT~