UPM Raih Tempat Pertama Dua Anugerah Projek Komuniti Dalam HEWM 2015 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM raih tempat pertama dua anugerah projek komuniti dalam HEWM 2015

UPM raih tempat pertama dua anugerah projek komuniti dalam HEWM 2015

Oleh Nik Muhamad Adnan Mohd Nor
Foto Amirulzaman Kamaruzzaman



PUTRAJAYA, 14 Ogos  –  Universiti Putra Malaysia (UPM) mengungguli tempat pertama dalam dua kategori projek komuniti berimpak tinggi pada majlis Anugerah Penghargaan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) 2015 sempena Program Higher Education Week Malaysia (HEWM 2015) yang berlangsung dari 13 hingga 16 Ogos lalu.

Anugerah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang di kementerian itu.

Pengiktirafan itu diberikan kepada Pengarah UCTC UPM, Prof. Madya Dr. Hawa ZE Jaafar selaku ketua projek Introducing Sustainable and Innovative Propagation Technique for High Quality and Authenticated Kacip Fatimah Plant Materials.  



Beliau memenangi anugerah di bawah kategori Pembangunan Alam Sekitar dan menerima wang tunai RM3,000, piala dan sijil penghargaan.

Anugerah diberikan atas sumbangan beliau menghasilkan varieti sahih Kacip Fatimah menggunakan keratan daun dan teknik pembiakan benih sebanyak sembilan hingga 15 kali ganda secara konsisten di samping memulihara alam sekitar dan biodiversiti negara.

Anugerah Penghargaan University Community Transformation Centre (UCTC) bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada projek-projek komuniti yang berjaya dihasilkan berdasarkan prinsip National Blue Ocean Strategy (NBOS) iaitu berimpak tinggi, pelaksanaan pantas, kos minimum dan mapan.

Menurut Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini, sejak penubuhan UCTC UPM pada 30 November 2013, sebanyak 19 buah UCTC di Universiti Awam telah ditubuhkan bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan universiti kepada komuniti.



Pada majlis yang sama, Fakulti Pertanian UPM juga memenangi tempat pertama anugerah Rakan UCTC Cemerlang bagi kategori Persatuan Pelajar dan menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan.

Anugerah tersebut diterima oleh Timbalan Dekan, Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pertanian UPM, Prof. Madya Dr. Halimi Mohd Saud.

Menurut Dr. Halimi yang juga ketua projek bagi Projek Tren Mersing Program Duta Jauhar, program itu dilaksanakan dengan mengambil kira penggunaan kos yang minimum, jangka masa singkat tetapi berimpak.

“Program ini telah membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat nelayan melalui strategi inovatif yang menghasilkan produk pertanian dan pelancongan dengan memperkenalkan teknik tanaman tanpa tanah dan bahan terbuang sekali gus membantu mereka mengurangkan kos sara hidup dengan hasil yang diperolehi,” katanya.

 

 

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568674551