UPM Legasi Kecemerlangan Pertanian, Gah Di Persada Dunia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM legasi kecemerlangan pertanian, gah di persada dunia

UPM legasi kecemerlangan pertanian, gah di persada dunia

Oleh Azman Zakaria



SERDANG, 29 Okt - Bermula sebagai sebuah Sekolah Pertanian pada tanggal 21 Mei 1931, Universiti Putra Malaysia (UPM) sudah membuat lonjakan besar sambil melakar pelbagai kejayaan dalam menyumbang kepada transformasi dan pembangunan pertanian negara.

Pada Majlis KonvokesyenKe-39 dari Sabtu ini (31 Oktober) hingga 3 November, UPM bakal melahirkan lagi 7,056 graduan terdiri daripada 469 penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 1,860 Ijazah Sarjana, 4,299 (Bacelor) dan 428 (Diploma).

Tema kovokesyen tahun ini ‘Mendepani Pertanian’, menepati status dan pencapaian cemerlang UPM dalam melonjakkan bidang pertanian negara.

Pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang diterima UPM serta penarafan kedudukan dalam bidang Sains Pertanian yang terserlah di peringkat global, memperkukuhkan lagi hakikat kelebihan dan kekuatan tersendiri yang dimiliki universiti ini.

Mencapai usia genap 84 tahun pada 21 Mei lalu, sejak lahir sebagai Sekolah Pertanian, reputasi akademik UPM terus gah di persada antarabangsa apabila ia unggul sebagai peneraju pendidikan pertanian bukan sahaja dalam negara, malah sudah mencipta nama di peringkat global.



dunia untuk Best Global Universities for Agricultural Sciences yang dikeluarkan oleh U.S.News & World Report awal bulan ini.

Kedudukan penarafan itu meningkat sembilan anak tangga berbanding kedudukan ke-54 pada tahun 2014.

Di Asia Tenggara, UPM disenaraikan sebagai Universiti terbaik dan ke-tujuh di Asia untuk Best Global Universities for Agricultural Sciences itu.

“Komitmen, semangat dan dedikasi komuniti UPM dalam memperkasakan bidang pertanian telah diiktiraf oleh penarafan global dan sekali gus membuktikan kebitaraan UPM dalam bidang Sains Pertanian,” kata Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan.

“Kami berasa bangga atas pencapaian cemerlang ini kerana kesungguhan dan komitmen memartabatkan ilmu bidang tersebut telah meletakkan universiti kami antara terbaik di dunia,” katanya.

Dinaik taraf sebagai Kolej Pertanian Malaya pada 1947, seterusnya sebagai Universiti Pertanian Malaysia pada 1973, status UPM sebagai pusat pengajian tinggi yang berteraskan sektor pertanian diperlihatkan secara jelas melalui tiga fakulti yang menjadi asas pengajiannya pada ketika itu dan satu bahagian asasi, iaitu Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan, Fakulti Perhutanan, Fakulti Pertanian dan Bahagian Sains Asasi.



Jelas, pertanian yang diterajui UPM, bukan dihadkan kepada tanaman untuk makanan tetapi mencakupi skop lebih luas termasuk penternakan, veterinar dan perhutanan, selain penerokaan disiplin ilmu yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat dan negara.

Meskipun namanya ditukar kepada Universiti Putra Malaysia pada April  1997 untuk menggambarkan statusnya sebagai pusat pengajian tinggi yang merangkumi pelbagai bidang, namun kedudukannya sebagai universiti yang bertunjangkan sektor pertanian tetap terpelihara malah semakin mantap.

Penekananan kepada pertanian juga diperlihatkan oleh UPM melalui tagline “Pertanian. Inovasi. Kehidupan”, yang memperkukuhkan dokongan dan komitmen dalam mengekalkan bidang pertanian sebagai teras utama pengajiannya.

UPM turut unggul apabila kebolehpasaran graduannya - 82.2 peratus – adalah yang tertinggi di kalangan institusi pengajian tinggi dalam negara. Mereka memperoleh pekerjaan dalam tempoh tiga bulan selepas konvokesyen. Peratusan itu dikeluarkan Kementerian Pendidikan bagi tahun 2014.

“Ini membuktikan tekad dan iltizam UPM sentiasa kukuh untuk terus melahirkan graduan yang berciri global, menepati keperluan majikan dan sekali gus mengangkat pelajar UPM ke taraf yang lebih baik,” kata Prof. Dato’ Dr Mohd Fauzi.

Meskipun melangkah awal hanya sebagai Sekolah Pertanian, UPM kini mencipta legasi kecemerlangan dan membawa impak besar kepada landskap pembangunan pertanian negara serta menjadi sumber rujukan dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan, khususnya bidang pertanian. – UPM.


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569048360