| Universiti Putra Malaysia

UPM kolaborasi bantu bangunkan Orang Asal

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Rahman Basman

 

BENUT (Pontian), 10 Okt: Kerjasama rapat antara universiti dan pengkaji Orang Asal akan dapat memastikan pembangunan masyarakat Orang Asal dilaksanakan secara menyeluruh.

Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkata, justeru itu beliau mahu kerjasama pelbagai agensi terus dilonjakkan lagi dalam membantu dan membangunkan masyarakat Orang Asal.

“Masyarakat Orang Asal perlu pendekatan tersendiri. Kita perlu memahami budaya mereka dahulu supaya senang bekerjasama untuk membangunkan masyarakat Orang Asal,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Kuala, di Kampung Kuala Benut, di sini.        

Turut hadir Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Isa Abd Hamid, dan Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM, Prof. Dr. Ahmad Hariza Hashim. Program ini kerjasama YAM Paduka Puteri Tunku Mariamz dan Fakulti Ekologi Manusia yang diketuai oleh Dr Mohd Roslan Rosnon.   

YAM Paduka Puteri Tunku Mariamz juga mahu masyarakat Kampung Kuala Benut mengambil kesempatan daripada majlis itu untuk menjalin dan memperkukuh hubungan, seterusnya bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk kesejahteraan dan kemakmuran mereka.

Prof. Dr. Mohd Roslan pula berkata, UPM sentiasa membuka ruang dan peluang kolaborasi, serta menyumbang bakti demi kesejahteraan masyarakat Orang Asal.

Katanya, yang penting adalah kepakaran, penemuan penyelidikan serta pemindahan ilmu dapat diterjemah dan digunakan bagi manfaat masyarakat.

Beliau berharap kerjasama yang wujud daripada program itu akan membuka pintu untuk kerjasama lain demi kebaikan bersama.

Katanya, beliau juga bersetuju pada dasarnya dengan tawaran oleh Dato’ Isa untuk menjadikan sebuah premis di Kampung Kuala Benut sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan.

Dato’ Isa ketika berucap berkata, pusat itu boleh menempatkan artifak serta produk Orang Asal, dan menjadi pusat internet desa untuk pemasaran produk Orang Asal serta tempat semakan on-line kemasukan pelajar kampung itu ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, ia juga boleh dijadikan tempat latihan kesenian dan kebudayaan masyarakat Orang Kuala, Kampung Kuala Benut agar khazanah kesenian tidak pupus.

Pada majlis itu, YAM Paduka Puteri Tunku Mariamz menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penaja-penaja dan menyampaikan bakul makanan kepada golongan asnaf serta sumbangan bantuan untuk murid Tadika dan Taska. - UPM        

 

 

SXEUJAb~