UPM Dan University Of Newcastle Tawar Ijazah Pasca Siswazah Bersama | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM dan University of Newcastle tawar ijazah pasca siswazah bersama

UPM dan University of Newcastle tawar ijazah pasca siswazah bersama

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Azreen Awang



SERDANG, 10 Jun (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) membuka lembaran baru apabila menjalin hubungan dengan University of Newcastle yang berprestij dari Australia dalam menawarkan pengajian pasca-siswazah dengan ijazah mempunyai logokedua-dua universiti.

Perjanjian di bawah Program Ijazah Tinggi Dianugerah Bersama (JARHDP) itu terkandung dalam satu Memorandum Perjanjian (MoA) ditandatangani oleh Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan dan Naib Canselor merangkap Presiden University of Newcastle, Prof Caroline McMillan, bagi pihak institusi masing-masing di sini hari ini.

Majlis memeterai perjanjian itu, yang pertama oleh sebuah universiti Malaysia, disaksikan oleh Dekan Pusat Pengajian Siswazah UPM, Prof Dr Bujang Kim Huat dan  Pro-Naib Canselor (Singapura) University of Newcastle.



Walaupun biasanya skim JARHDP itu adalah selama empat tahun akademik, dalam kes tertentu calon terlibat boleh dibenarkan menyerahkan tesis mereka lebih awal.

Calon-calon yang kini berdaftar di salah sebuah universiti boleh dibenarkan berpindah ke skim JARHDP dengan kelulusan kedua-dua belah pihak dan semua penyelia.

Perjanjian itu menyatakan bahawa cadangan seseorang calon mesti mengenalpasti sumber-sumber diperlukan kedua-dua pihak dan ketika calon skim JARHDP hadir di kampus, setiap pihak bersetuju menyediakan sumber projek ditetapkan dalam kertas cadangan diluluskan.

“Pihak-pihak terlibat bersetuju calon dikehendaki hadir di kampus institusi tuan rumah selama paling kurang setahun pengajian akademik dan maksimum dua tahun, untuk diperiksa mengikut JARHDP. “

Calon mungkin didkecualikan daripada membayar yuran tuisyen di Newcastle, tetapi ketika di UPM mereka perlu membayar yuran-yuran UPM termasuk insurans dan bayaran sampingan.

Bahasa pengantar digunakan di kedua-dua universiti adalah Inggeris dan kedua-dua pihak juga bersetuju semua projek JARHDP melibatkan penyelidikan manusia dan haiwan mesti mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada jawatankuasa etika berkenaan.

Encik Saiful Maskan, penolong pendaftar Pusat Pengajian Siswazah UPM, memberitahu skim JARHDP menawarkan pelajar-pelajar Malaysia peluang memperoleh ijazah pasca-siswazah daripada universiti-universiti berprestij dengan belanja yang rendah.

Program dengan University of Newcastle ini adalah tambahan kepada program Ijazah Berganda/Ijazah Penyelidikan Dianugerah Bersama dimeterai oleh UPM dengan lain-lain universiti terkemuka seperti University of Sheffield, University of Nottingham, Ajou University, Kyushu Institute of Technology dan Jordan University of Science and Technology. – UPM

-- kgo/agn/kam


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566319757