| Universiti Putra Malaysia

Teruskan usaha tingkat ilmu selepas bekerja

Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Seksyen Media Kreatif dan Visibiliti Korporat

SERDANG, 22 Mac: Graduan perlu terus berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri, meskipun selepas mendapat pekerjaan, kata Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Academician Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim.

Katanya, ia kerana mendapat pekerjaan tidak bermakna bahawa proses pembelajaran terhenti.

“Jadikan kejayaan pada hari ini, sebagai landasan untuk memberikan sumbangan bermakna kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan peradaban manusia, yang lebih berkualiti, berintegriti dan bersinergi dengan alam persekitaran,” katanya ketika berucap pada Sesi 4, Majlis Konvokesyen UPM ke-45, di sini hari ini.

Beliau juga berkata, graduan perlu cemerlang secara holistik dan seimbang dalam segenap aspek, dan tidak hanya cemerlang dalam pencapaian akademik semata-mata ke arah menjadi graduan berkualiti sebagaimana yang dihasratkan oleh negara.

Katanya, graduan yang mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda dan adab, amat penting ke arah melahirkan insan yang luhur, amanah dan bermaruah.

Jika universiti ini dapat melahirkan graduan sebagai insan, dan bukan berpaksikan modal insan semata-mata, inilah sumbangan terbesar UPM dalam usaha mentransformasi negara,” katanya.

Beliau juga berharap agar graduan tidak melupakan pengorbanan ibu bapa dan keluarga, yang menjadi tonggak kejayaan mereka hari ini.

“Tanpa mereka, siapalah kita,” katanya.

Katanya, kejayaan graduan juga boleh menjadi pemangkin untuk mereka memberi sumbangan yang signifikan kepada keluarga, masyarakat dan negara, dalam apa-apa juga bidang yang diceburi. – UPM.

WXEZEA~