| Universiti Putra Malaysia

Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat ke Program Potong-Royong

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abd Jabar  

HULU LANGAT, 8 Mac - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Program Potong-Royong iaitu kempen pemandulan kucing di Kampung Batu 14, Hulu Langat di sini, hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mengunjungi aktiviti kempen seperti pemeriksaan kesihatan kucing, pendidikan mengenai penjagaan kucing dan kepentingan pemandulan serta vaksinasi kucing sebelum berangkat meninggalkan Dewan Dato Nazir kira-kira pukul 11.40 pagi.

Sementara itu, Program Potong-Royong merupakan anjuran Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor bersama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia, Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA).

Dekan FPV UPM, Professor Dato' Dr. Mohd Azmi Mohd Lila berkata program ini merupakan salah satu inisiatif memberi kesedaran kepada masyarakat kepentingan pemandulan kucing serta menyayangi haiwan peliharaan.

"Pemandulan kucing dapat mengelakkan risiko tumor dan barah mamari (kelenjar susu), jangkitan rahim bernanah (pyometra) dan kurang risiko penyakit berjangkit seperti Leukemia Kucing.

"Kita perlu meningkatkan kesedaran pemandulan kucing ini untuk mengurangkan komplikasi kepada kucing yang berkeliaran tanpa tuan serta salah satu alternatif kawalan populasi kucing kerana kucing merupakan sejenis haiwan yang sangat senang membiak.

"FPV UPM juga menyediakan khidmat vaksin dan ubat cacing percuma kepada kucing yang di bawa oleh pengunjung," katanya.

Program yang dijalankan pada 7-12 Mac 2023 setiap 10 pagi hingga 5 petang turut melibatkan sukarelawan doktor veterinar bertauliah serta pelajar Doktor Perubatan Veterinar (DPV) UPM.

Pemilik kucing yang ingin turut serta dalam program ini boleh mendaftarkan haiwan mereka terlebih dahulu dengan membuat temujanji di nombor whatsapp 016-9274530 (SPCA).

Prosedur pemandulan kucing ini akan dikenakan bayaran tetapi subsidi diberikan di bawah pendanaan ‘Stray Free Selangor’, di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. . -UPM

WXDdNAq~