Rahsia Dan Kecantikan Serangga Dibongkar Di Pameran NYAWA’13 UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Rahsia dan kecantikan serangga dibongkar di pameran NYAWA’13 UPM

Rahsia dan kecantikan serangga dibongkar di pameran NYAWA’13 UPM

Oleh Syifarida binti Muhamad Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 20 Nov – Sebanyak 25 spesimen bertemakan pelbagai jenis serangga telah dipamerkan sempena Pameran Natures’s Yield And Wonders of Art (NYAWA) 2013 yang berlangsung mulai 11 November 2013 sehingga 15 Disember 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dua puluh lima jenis pameran yang dipamerkan itu terdiri daripada pelbagai jenis serangga yang dikelaskan secara taksonomi di dalam Order, Famili, Genus dan Spesies.  Antaranya adalah serangga daripada Order Orthoptera (belalang), Celeoptera (kumbang), Lepidoptera (rama-rama), Isoptera (anai-anai) dan Hymenoptera (semut).

Serangga yang dipamerkan merupakan serangga yang terpilih dan yang telah dikenalpasti sehingga ke tahap spesies oleh pakar-pakar Entomologi dari Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian UPM.



Pameran itu menggabungkan hasil kajian saintifik para penyelidik UPM  dan telah diindekskan dengan elemen seni kontemporari seiring dengan citarasa pencinta seni masa kini agar dapat diterima oleh masyarakat umum yang mempunyai latar belakang sains ataupun bukan sains.

Penganjur pameran Pengarah Putra Science Park, Prof. Madya Dr. Samsilah Roslan berkata NYAWA ’13:Insect bertujuan untuk membawa hasil-hasil kajian penyelidik UPM mengenai flora dan fauna kepada masyarakat umum dengan gaya yang interaktif agar mudah difahami oleh semua lapisan umur.

“Proses pameran dan penerbitan ini telah bermula sejak januari 2013 dan boleh diakses di peringkat antarabangsa melalui capaian Virtual Library Museums Pages (VLMP) selepas sebulan pameran berkahir. VLMP merupakan sebahagian daripada International Council of Museums (ICOM) yang berpusat di Paris”, katanya.



Timbalan Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar berkata pameran itu boleh menjadi sumber rujukan kepada saintis diseluruh negara.

“Pameran yang dibuka kepada orang ramai ini bukan sahaja dapat mengetengahkan hasil kajian saintifik penyelidik UPM kepada masyarakat, malah melalui Virtual Library Museum Pages (VLMP), ianya boleh dijangkau oleh saintis di seluruh dunia,” katanya.

UPM mempunyai sebanyak 12 ribu koleksi serangga yang mewakili 4ribu spesis serangga disimpan di Muzium Entomologi, Fakulti Pertanian, UPM dimana sebahagian koleksi itu telah disumbangkan oleh pelajar melalui aktiviti pengumpulan serangga di dalam silibus pembelajaran.

Koleksi itu akan menjadi sumber rujukan bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran UPM.

Pameran  buat kali kedua itu telah dianjurkan oleh Fakulti Pertanian, UPM dengan kerjasama Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM dimana pameran NYAWA bertemakan buah-buahan telah berjaya dilaksanakan pada tahun 2012 yang telah dirasmikan oleh mantan Menteri Pelancongan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ng. Yen Yen.


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566347401