| Universiti Putra Malaysia

Program Let’s Algebraize 1.0 bimbing pelajar minat Algebra

Oleh: Prof. Madya Dr.Siti Nur Iqmal Ibrahim

SERDANG, 11 Dis – Buat julung kalinya, Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Let’s Algebraize 1.0 bersama 75 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) bagi memupuk minat pelajar terhadap Algebra.

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Akademik, Hal Ehwal Pelajar & Alumni Fakulti Sains, UPM, Prof. Madya Dr. Siti Hasana Sapar dan tiga guru SAAS menyertai program tersebut.

Selain itu, pelajar SAAS turut dibantu untuk memahami soalan dalam membuat persediaan yang terbaik sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan sekitar bulan Februari 2023.

Penyelaras program, Dr. Athirah Nawawi berkata program itu telah menerima respon yang baik daripada peserta di mana mereka lebih memahami konsep asas Algebra serta lebih mahir untuk menyelesaikan masalah matematik yang memerlukan kemahiran menguasai Algebra.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah Senaman Matematik pada waktu pagi dan para peserta telah didedahkan dengan kemahiran menyelesaikan masalah yang menggunakan konsep asas Algebra dalam bentuk latihan dalam kumpulan,” katanya.

Program itu turut dibantu oleh beberapa pensyarah lain iaitu Prof. Madya Dr. Siti Hasana Sapar, Prof. Madya Dr. Idham Arif Hj Alias, Prof. Madya Dr. Siti Nur Iqmal Ibrahim, Dr. Muhammad Aslam Mohd Safari, Dr. Risman Mat Hasim, Dr. Mohd Shafie Mustafa, Dr. Chen Chuei Yee, Puan Aniza Abd Ghani, Dr. Mohamat Aidil Mohamat Johari, Dr. Fadzilah Md Ali, Dr. Nadihah Wahi, Dr. Haliza Rosali, Nazihah Mohamed Ali dan Nor Aliza Ab Rahmin.

Sementara itu, seramai 11 fasilitator daripada kalangan pelajar tahun akhir Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains, UPM dilantik untuk mengendalikan aktiviti semasa program ini bersama pensyarah pembimbing. – UPM

WXEZTAW~