| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah UPM terima Geran Anugerah Merdeka 2021

Oleh: Noor Eszereen Juferi

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Wan Nor Fitri Wan Jaafar menerima Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa (MAGIA) edisi ke-8 (2021).

Beliau adalah antara lima orang yang menerima anugerah itu.

Ia disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka. Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Anugerah diadakan dengan kerjasama Petronas, Shell dan ExxonMobil.

Penyampaian Anugerah Merdeka edisi ke-12 (2020) turut diadakan bagi meraikan penerima tahun lalu kerana tiada acara penyampaian fizikal akibat pandemik COVID-19.

Dr. Wan Nor Fitri berkata pemilihan beliau untuk ke Centre of Conservation Genomics, Smithsonian’s National Zoo dan Conservation Biology Institute di Washington bertujuan menjalankan latihan makmal bagi teknik pengklonan dan sel stem dalam pembiakan hidupan liar.

Katanya, hidupan liar seperti harimau yang populasinya amat kritikal adalah antara spesies yang utama bagi memperoleh manfaat daripada teknologi berkenaan.

“Idea asal penyelidikan ini timbul dari kepupusan Badak Sumatera pada tahun 2019. Pelbagai usaha oleh kerajaan Malaysia diusulkan bagi memastikan kelangsungan badak, namun belum kesampaian antaranya dalam bidang molekular: sel stem dan pengklonan.

“Saya percaya dan berharap masih belum terlambat untuk kita sama-sama menyelamatkan harimau Malaya dan menggembleng tenaga ke arah kelestarian hidupan liar di Malaysia,” katanya.

Lawatan penyelidikan beliau ke Amerika Syarikat, India dan Indonesia akan dijalankan pada 2022 dan 2023.

MAGIA diperkenalkan pada 2012 bagi membantu generasi muda Malaysia membina kepakaran dengan mengikuti pengalaman pembelajaran di institusi atau organisasi antarabangsa melalui penempatan selama tiga bulan. - UPM

SXEaNA~