Pelajar FSKTM Ikuti Lawatan Aktiviti Pekerjaan Pengkomputeran Di Batam | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar FSKTM ikuti lawatan aktiviti pekerjaan pengkomputeran di Batam

Pelajar FSKTM ikuti lawatan aktiviti pekerjaan pengkomputeran di Batam

Oleh: Prof. Rahmita Wirza O.K. Rahmat

BATAM (Indonesia), 10 Jan – 14 pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengikuti lawatan ke Nongsa Digital Park (NDP), Infinite Studios Batam dan Politeknik Negeri Batam (PoliBatam) di sini bagi mendedahkan mereka kepada aktiviti pekerjaan yang melibatkan pengkomputeran.

Program itu turut disertai tiga pensyarah FSKTM Prof Dr. Rahmita Wirza O.K. Rahmat, Prof Madya Dr Fatimah Khalid dan Dr Siti Khadijah Ali.

Pensyarah Jabatan Multimedia, FSKTM, Prof. Rahmita berkata pelajar turut melihat aktiviti perfileman dan animasi di Studio Infinit serta mempersembahkan produk-produk mobil Imbuhan Reality (Augmented Reality) hasil projek masing-masing di PoliBatam. 

“Pelajar juga meninjau aktiviti pembelajaran yang melibatkan industri animasi di PoliBatam dan mengadakan sesi diskusi dengan pensyarah serta pegawai perhubungan antarabangsa PoliBatam dan pensyarah FSKTM, UPM bagi aktiviti kerjasama yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata, antara aktiviti kerjasama yang akan diadakan ialah pertukaran pelajar merangkumi program mobiliti dan latihan industri, kerjasama penyelidikan dan pembangunan selaras dengan permintaan industri kedua-dua negara, serta penerimaan pensyarah PoliBatam sebagai pelajar siswazah di FSKTM, UPM.

Perbincangan itu juga merangkumi skop perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi yang akan ditandatangani setelah kedua-dua pihak bersetuju dengan isi kandungan MoU.

Sementara itu, Nongsa Digital Park (NDP) adalah taman digital bersepadu yang menyediakan tempat untuk perkembangan perniagaan digital dan tapak ideal untuk pembangunan pusat data.

Terletak di topografi tinggi di timur Batam, NDP menawarkan lokasi geografi yang lebih selamat untuk Pusat Data. Disokong dengan kehadiran infrastruktur yang baik, Batam dianggap memiliki potensi yang besar untuk kegiatan perniagaan.

Infinite Studios Batam pula adalah media hiburan bersepadu dan syarikat perkhidmatan kreatif yang berpusat di Singapura dan Batam.

PoliBatam adalah satu-satunya Universiti Negeri Vokasional (PTN) di Kawasan Pelabuhan dan Perdagangan Bebas Batam (KPPBPB-Batam), Provinsi Kepulauan Riau.

Dengan kedudukannya di salah satu pusat pertumbuhan ekonomi negara, PoliBatam terletak di garis terdepan dan wilayah paling luar Negara Kesatuan Republik Indonesia, yang bersempadan dengan laluan perdagangan antarabangsa dengan Malaysia dan Singapura. - UPM

 

 

Tarikh Input: 31/01/2020 | Kemaskini: 07/02/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJWIA:08:02