| Universiti Putra Malaysia

Pasukan Salvus UPM juarai Pertandingan ‘Shell Varsity Challenge 2021’

Oleh: M. Amiruddin Aziz

SERDANG, 10 Feb – Pasukan Salvus Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara pertandingan  ‘ShellSelamatSampai Varsity Challenge 2021’.

Pertandingan tahunan itu  dianjurkan oleh Shell Malaysia sejak 2017 sebagai satu inisiatif bagi mengurangkan isu keselamatan jalan raya dan dalam masa yang sama dapat memperkasakan pelajar pendidikan tinggi Malaysia.

Salvus UPM, dianggotai Nurul Faqihah Hambali, Kiang Fei Yi, Siti Aishah Husna, Mas Athirah Mohd Hisban dan Nurul Syamilah Azman, menggenggam gelaran juara menerusi projek inovatif mereka ‘Anti-Drunk and Sleep Detector (ADS)’.

Projek itu menyaksikan penciptaan peranti yang dapat mengenal pasti keadaan pemandu sama ada mereka mengalami masalah alkohol atau tertidur dalam kenderaan dengan mengesan tahap alkohol dan oksigen pemandu, bagi menentukan sama ada pemandu berada dalam keadaan yang baik untuk memandu.

Pasukan Salvus UPM turut berterima kasih kepada Shell Malaysia kerana memperkenalkan inisiatif Nxplorers serta mendedahan corak pemikiran baharu dan metodologi penyelesaian masalah yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek itu.

Pasukan Salvus UPM berharap inovasi itu digunakan oleh rakyat Malaysia ke arah mewujudkan perjalanan yang lebih selamat untuk semua orang di jalan raya.

Pasukan Salvus merupakan antara lima pasukan teratas pada kali ini, dan bersaing dengan pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Sebelum sampai ke pusingan akhir, UPM mempunyai enam pasukan yang bertanding dalam pusingan 20 Teratas.

Pada peringkat 20 Teratas, Shell Malaysia memberikan setiap pasukan RM1,000 bagi mengubah idea untuk menjadi prototaip kerja dalam tempoh lapan minggu. Panel hakim memilih lima pasukan terbaik untuk ke pusingan akhir.

Pengerusi Shell Malaysia, Ivan Tan berkata keselamatan jalan raya telah menjadi satu kebimbangan utama di Malaysia dan negara-negara lain. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan kira-kira 1.3 juta kematian setiap tahun akibat kemalangan jalan raya.

“Di Shell, kami berusaha untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini dengan memperkasakan belia untuk menggunakan teknologi dalam membentuk intervensi inovatif untuk mencegah kemalangan berkaitan jalan raya,” katanya.

Pertandingan ‘Shell Varsity Challenge’ mendapat penyertaan daripada universiti di seluruh Malaysia dan telah memperkenalkan banyak prototaip projek inovatif yang bertujuan membantu meningkatkan keadaan keselamatan jalan raya. - UPM

SXEZXAY~