MyCC Dan FEP Meterai Kerjasama Undang-undang Persaingan Ekonomi | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » MyCC dan FEP meterai kerjasama undang-undang persaingan ekonomi

MyCC dan FEP meterai kerjasama undang-undang persaingan ekonomi

Oleh Nurzatul Hakimah Mahmud Mahayudin

 


PUTRAJAYA, 20 Ogos – Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalin kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam bidang advokasi dan polisi undang-undang serta berkaitan dengan undang-udang ekonomi di bawah Akta 2010 [Akta 712].

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata kerjasama strategik itu akan menggalakkan pelaksanaan undang-undang persaingan yang lebih berkesan di Malaysia terutamanya bagi aktiviti-aktiviti yang melibatkan pendidikan dan penyelidikan mengenai undang-undang persaingan.

“Kerjasama ini dapat melengkapkan pensyarah dan memberikan pendedahan kepada pelajar UPM untuk terlibat secara terus dengan MyCC terutamanya melalui peluang latihan industri. UPM dan MyCC juga bersetuju untuk memberikan akses kepada pusat sumber kedua-dua pihak bagi tujuan penyelidikan dan akademik.

“Khidmat rundingan dan penyelidikan berkaitan undang-undang persaingan juga melibatkan Akta 2010 (Akta 712)” katanya semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dengan MyCC di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kedua-dua pihak mendapat faedah kerana MyCC berupaya menyediakan platform kepada universiti manakala UPM pula mempunyai kepakaran yang boleh membantu MyCC memantapkan pelaksanaan Akta Persaingan 2010 bagi melindungi kepentingan pengguna.

MoU itu ditandatangani oleh Prof. Aini dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail dengan disaksikan oleh Datuk Seri Saifuddin dan Dekan FEP, Prof. Dr. Azali Bin Mohamed. - UPM

Tarikh Input: 03/10/2019 | Kemaskini: 07/11/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJWHAj:07:47