| Universiti Putra Malaysia

Kepentingan Pakar Epidemiologi Kesihatan Awam Veterinar dalam kesihatan sejagat

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Sabri Omar 

SERDANG, 4 Mac – Kepentingan epidemiologi dan kesihatan awam saling berhubung kait bagi memastikan penyakit berkaitan haiwan dan juga manusia serta persekitaran tidak menular demi kesihatan sejagat di negara.

Pensyarah Jabatan Diagnosis Makmal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Latiffah Hassan berkata, epidemiologi penyakit haiwan adalah penting dari segi ekonomi dan kesihatan awam untuk mengelakkan penularan jangkitan penyakit zoonosis antara haiwan  kepada manusia.

“Isu agen penyakit zoonosis yang boleh ditransmisikan dari haiwan terutamanya haiwan liar dan juga perkara yang disebut sebagai antimicrobial resistance (AMR) di mana bakteria tidak boleh dihapuskan dengan antibotik akibat kerintangan antibotik,” katanya.

Tambah beliau, penyelidikan beliau adalah untuk mengkaji dan melihat bagaimana sesuatu penyakit tersebut bermula dan langkah pencegahan yang boleh diambil serta kawalan yang boleh diaplikasikan untuk mengelakkan jangkitan menular serta risko penyakit dan AMR.

“Saya juga konsisten memfokuskan pada bidang pencegahan dan mitigasi penyakit untuk mencipta atau mengukuhkan dasar patogen bawaan makanan dan zoonosis yang muncul dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata perkara ini merupakan cabaran masa kini yang memerlukan tindakan dan kerjasama semua pihak dari pelbagai agensi dan disiplin.

“Kesihatan haiwan berkait dengan kesihatan manusia dan semua ini saling berkait dengan persekitaran serta perlu ada pendekatan antara semua agensi kerana ianya saling berkait untuk mengatasi permasalah tersebut,” katanya.

Beliau juga berharap agar kerjasama untuk memahami isu itu dilihat serius dan mendapat penyelesaian terbaik untuk dimanfaatkan kepada masyarakat.

Prof. Dr. Latifah sebelum ini juga menumpukan kepada penerangan asas penyakit berdasarkan pengawasan, sistem kawalan penyakit dan penilaian program dengan tujuan untuk menyediakan maklumat yang relevan yang boleh digunakan oleh penggubal dasar.

Beliau ditemui setelah menyampaikan Syarahan Inaugural yang bertajuk “One For All And All For One: Health At The Animal-Human-Environment Interface” di Auditorium, FPV, UPM semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dan Dekan FPV, Dato' Prof. Dr Mohd Azmi Mohd Lila. - UPM

WXFIMAo~