| Universiti Putra Malaysia

Kematian Ibu bapa sakit, pembakar semangat capai Master

Oleh: Siti Fatimah Natasya Zakaria
Pelajar Bacelor Pengajian Pengguna, FEM

SERDANG, 8 JAN – Kematian ibu bapa yang sakit menjadi pembakar semangat graduan Tharra Sakinah Abdul Razak, 31, untuk mencapai impian dan bergraduat dalam Master Komunikasi Korporat di Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-44 Tahun 2022 di sini.

Beliau merupakan anak sulung kepada dua beradik berkata sebelum ini arwah ibunya menghidap penyakit buah pinggang selama tujuh tahun yang lalu

Namun, setelah beliau bergraduat di peringkat Sarjana Muda, kesihatan kedua ibu bapanya semakin baik dan kemudiannya beliau bertekad untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Master di UPM.

Namun, beliau tidak menyangka ketika menyambung pengajiannya di peringkat Master, arwah ibu beliau kembali kritikal dan perlu menemani ibunya sepanjang masa di hospital.

“Perjalanan sepanjang Master hospital diibaratkan sebagai rumah pertama saya kerana masa saya banyak dihabiskan di situ kerana perlu menjaga ibu saya,” katanya.

Tiga hari selepas bermulanya semester keempat pada tahun 2019, arwah ibunya telah menghembuskan nafas yang terakhir.

Bagi Tharra, berkat beliau menjaga arwah ibunya setiap masa sepanjang arwah sakit, beliau mendapat kekuatan untuk menghabiskan pengajian beliau di peringkat Master.

Kemudiannya, pada Januari 2021 arwah ayah kepada Tharra telah menghembuskan nafas terakhir akibat COVID-19.

“Bagi saya, kejayaan saya bergraduasi hari ini adalah untuk mereka dan saya percaya berkat doa kedua arwah ibu bapa saya antara sebab saya berada di sini,” katanya.

Kini, beliau sedang berkhidmat di sebuah kementerian di Putrajaya dan dalam masa yang sama beliau juga sedang mengatur untuk melangkah dalam dunia perniagaan.

Namun begitu, terdapat juga kenangan manis yang beliau sempat lakarkan sepanjang perjalanan Master bersama rakan baiknya di mana mereka telah mendapat anugerah pembentang terbaik di bawah inisiatif UNICEF pada awal tahun 2020.

Tharra turut berkongsi pengalaman semasa melanjutkan pengajian beliau pentingnya pengurusan masa yang betul sebagai seorang pelajar kerana dalam masa yang sama beliau mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menjaga kedua arwah ibu bapanya.  - UPM

SXEUPAx~