| Universiti Putra Malaysia

KELUARGA DAN MASYARAKAT MENJADI INSPIRASI UNTUK MENERUSKAN PELAJARAN

Oleh: Nurul Qamarina Azli
Pelajar Bachelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan, FEM 

SERDANG, 9 Jan – Kekal bersemangat meneruskan pembelajaran meskipun kehilangan kedua ibu bapa, Muhammad Hasbollah Mohd Rahim, 27, telah berjaya menamatkan pengajian dalam program Bacelor Perakaunan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) pada Majlis Konvokesyen ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM).

Muhammad Hasbollah menjaga ibunya selepas kematian ayahnya pada 2019 disamping menjalani kelas secara dalam talian.

Beliau juga perlu membahagikan masa untuk aktif di dalam kelab Universiti Putra Accounting Club untuk mengasah bakat kepimpinan dan berinteraksi dengan masyarakat.

“Pensyarah saya amat memahami kesusahan saya sejak kehilangan ayah semasa berada pada tahun tiga pengajian di UPM,” katanya.

Antara dugaan yang beliau hadapi iaitu semasa beliau menjalani peperiksaan dalam talian, ibunya perlu ke hospital dengan bantuan ambulans dan beliau bersyukur pensyarah memahami kekangannya dan memberi ruang untuk menguruskan hal tersebut sebelum beliau menjawab semula peperiksaan berkenaan.

Arwah ibunya menghembuskan nafas terakhir selang beberapa bulan kemudian.

Muhammad Hasbollah  turut meluangkan masa dengan masyarakat dengan berniaga di Perak dan hasil perniagaan tersebut beliau  berjaya membantu ramai ibu-ibu tunggal dari sudut barang harian sambil menjaga ibunya yang sakit.

Beliau berpesan agar mengelakkan diri dari terlalu lama di dalam masalah yang tidak pernah selesai serta pastikan masalah tersebut diselesaikan dengan segera agar tidak mengalami depresi. - UPM

SXFUNAL~