Inovasi Cip Penderia SPR Upaya Kesan Denggi Di Peringkat Awal | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Inovasi Cip Penderia SPR upaya kesan denggi di peringkat awal

Inovasi Cip Penderia SPR upaya kesan denggi di peringkat awal

Oleh: Azman Zakaria

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG - Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan Cip Penderia Spektroskopi Resonans Permukaan Plasmon (SPR), inovasi yang boleh mengesan secara pantas virus demam denggi di peringkat permulaan demam itu.

 

Berfungsi sebagai alat optik, SPR sangat sensitif terhadap sebarang perubahan indeks biasan cecair, termasuk darah dan air, bersebelahan dengan permukaan lapisan logam yang diperlukan untuk menghasilkan fenomena ini.

 

Berdasarkan konsep ini, SPR berpotensi tinggi untuk muncul sebagai alternatif penderia optik yang berkesan.

 

Ketua kumpulan penyelidik itu, Dr. Yap Wing Fen dari Jabatan Fizik, Fakulti Sains, berkata, cip penderia yang dibangunkan untuk bergabung dengan fenomena optik akan dapat mengesan virus dengan pantas.  

 

Beliau berkata pengesanan awal sangat diperlukan untuk merawat virus denggi kerana pada masa ini belum ada vaksin atau terapi khusus untuk mencegah jangkitan virus berkenaan.

 

Sehubungan itu, katanya, sensor yang sangat sensitif seperti SPR diperlukan untuk mengesan virus denggi.

 

“Kehadian virus, jika ada boleh dikesan dalam beberapa minit selepas ujian atau saringan dilakukan,” katanya. 

 

Katanya, pengawalan penyebaran virus denggi (DENV) pada peringkat awal adalah penting untuk mengurangkan kadar kematian, terutamanya di kawasan pedalaman yang kekurangan teknologi maju disebabkan faktor kedudukan geografi yang sukar bagi hal-hal logistik.

 

Dr. Yap berkata, selain untuk bidang perubatan, spektroskopi SPR yang merupakan satu penderia optik yang pantas juga boleh digunakan untuk tujuan kawalan persekitaran dan mengesan ion-ion logam yang memberi kemudaratan kepada tubuh manusia seperti ion raksa dan tembaga, yang merupakan bahan pencemar utama.

 

Katanya, ia boleh digunakan untuk mengesan logam berbahaya di dalam air seperti di sungai terutamanya di kawasan perindustrian yang terdapat permintaan tinggi untuk mendapatkan minuman air bersih.

 

Menurutnya, kelebihan produk ini ialah ia murah, mudah dan senang digunakan, mesra persekitaran, berupaya mengukur dengan pantas, penderia yang tidak merosakkan, ketepatan yang tinggi, kepekaan dan pengulangan guna yang tinggi, dan memantau interaksi molekul dalam masa sebenar (real-time).

 

Katanya, penyelidikan bagi menghasilkan SPR berkaitan air bermula pada 2011, manakala untuk denggi pada 2017.

 

Beliau berkata, pihaknya sedang mencari rakan industri atau pemberi dana untuk kolaborasi bagi menjalankan kajian lanjut ke arah meningkatkan keberkesanannya, dan bercadang untuk bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar.

 

Kajian lanjut perlu sebelum ia dipasarkan sepenuhnya, katanya sambil menambah kata bahawa, SPR bersama cip penderia yang dibangunkan berpotensi untuk dikomersilkan di seluruh dunia, terutamanya dalam bidang perindustrian.

 

Inovasi itu memenangi anugerah pingat emas pada ‘invention, innovation, design exposition’ (iidex) 2018, pingat emas pada Pameran Rekacipta, Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2016, pingat emas pada Ekspo Inovasi Malaysia (Miexpo) 2015, pingat perak pada Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Invensi Institusi Pengajian Tinggi (PECIPTA) 2017, dan pingat gangsa pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2015.

 

Ahli-ahli lain kumpulan penyelidik itu ialah Prof Dr. W. Mahmood Mat Yunus, Prof Dr. Mohd Adzir Mahdi, Dr. Jaafar Abdullah, Dr. Amir Reza, dan juga pelajar-pelajar PhD dan master iaitu Nur Alia Sheh Omar, Afiq Azri Zainudin, Sura Hmoud, Faten Kamal Eddin, Wan Mohd Ebtisyam Mustaqim Mohd Daniyal, Silvan Saleviter, Nur Ain Asyiqin Anas, Nur Syahira Md Ramdzan, Mohammad Danial Aizad Roshidi, Hazwani Suhaila Hashim dan Nurul Illya Muhamad Fauzi. - UPM

Tarikh Input: 30/11/2018 | Kemaskini: 30/11/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566319631