Hargai Jasa, Pengorbanan Ibu Bapa: Tan Sri Lim Ah Lek | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Hargai jasa, pengorbanan ibu bapa: Tan Sri Lim Ah Lek

Hargai jasa, pengorbanan ibu bapa: Tan Sri Lim Ah Lek

Oleh Azman Zakaria Foto
Oleh Noor Azreen Awang


SERDANG, 1 Nov - Para graduan mesti sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang membolehkan mereka berjaya dalam pelajaran dan bergelar graduan, kata Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Lim Ah Lek.

Justeru katanya, para graduan perlu berbakti kepada kedua ibu bapa yang banyak berkorban untuk melihat mereka berjaya. Beliau berkata para graduan perlu bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa yang sentiasa membantu di waktu sukar mahupun senang. “Saya sedar, bukan semua para graduan berasal dari keluarga yang berada.

Para graduan mestilah menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang menghantar anda ke universiti sehinggalah anda tamat pengajian dan bergelar graduan pada hari ini,” katanya pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen Ke-39 UPM di sini.

Beliau menyampaikan ijazah dan diploma kepada 893 graduan. Sambil mengucapkan tahniah kepada para ibu bapa dan keluarga para graduan, beliau berkata, inspirasi yang diberikan oleh ibu bapa telah memungkinkan para graduan mengharungi segala cabaran serta tekanan dan halangan dalam pengajian dengan lebih baik, lebih matang dan berjaya.

Katanya, pengorbanan ibu bapa daripada segi masa, tenaga, sumber kewangan mahupun kesabaran yang tinggi merupakan pengorbanan murni yang tidak harus dilupakan para graduan.

Beliau juga berkata perkembangan ekonomi dunia yang tidak menentu memberi cabaran kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan, dan oleh itu mereka perlu bersedia dan melengkapkan diri dengan ciri keusahawanan dan berupaya mencipta pekerjaan.

Katanya, berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan susulan pada tahun 2014, UPM telah mencapai 82.2% graduan memperoleh pekerjaan, menjadi usahawan atau melanjutkan pengajian. “Skor ini yang merupakan pencapaian yang tertinggi dalam kalangan universiti awam.

Pada masa yang sama, dalam dunia global tanpa sempadan, saya percaya graduan yang dihasilkan oleh UPM bukan lagi hanya memenuhi pasaran tenaga kerja dalam negara, sebaliknya di peringkat global,” katanya.

Justeru itu katanya, UPM harus memastikan graduannya benar-benar mempunyai ciri tenaga kerja mahir global yang kompeten dan dinamik, terutamanya dalam pembentukan Komuniti ASEAN 2015 yang menyaksikan persaingan peluang pekerjaan semakin meningkat khususnya dalam konteks penawaran bakat dan tenaga kerja mahir.

Seramai 7,056 graduan menerima ijazah dan diploma pada konvokesyen itu yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 3 November. - UPM

Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568672201