“Hadiah Pingat Emas Canselor Jadi Azimat Untuk Terus Berjaya” | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » “Hadiah Pingat Emas Canselor jadi azimat untuk terus berjaya”

“Hadiah Pingat Emas Canselor jadi azimat untuk terus berjaya”

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Marina Ismail

 

SERDANG, 22 Okt - “Saya begitu bersyukur… anugerah ini amat bermakna dan akan menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha untuk mencapai kejayaan lebih besar pada masa depan.”

 

Demikian kata-kata Tengku Shahiran Tengku Ruslan, graduan program Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama), Fakulti Pengajian Pendidikan yang memenangi Hadiah Pingat Emas Canselor, sempena Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-42 bermula 27 Oktober ini.

 

Katanya, tidak pernah terlintas di hatinya yang beliau akan menerima anugerah sebesar itu, lebih-lebih lagi ramai graduan lain yang turut mencipta pelbagai kecemerlangan.

 

Tambahan pula katanya, dokumen berserta sijil-sijil untuk pencalonan bagi anugerah itu diserahkannya pada saat-saat akhir.

 

Tengku Shahiran yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan berkata, beliau terlepas pandang untuk menghantar awal pencalonan itu kerana kesibukan bertugas sebagai sukarelawan di pejabat UNHCR, Petaling Jaya, dan pada hujung minggu pula menjadi tutor di Sekolah Menengah Kebangsaan DUSAJ, Jelebu.

 

“Dua minggu lepas, saya menerima panggilan telefon daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM tetapi tak sempat saya jawab. Selepas itu saya menghubungi semula BHEP… saya begitu terkejut dan bagaikan tidak percaya apabila diberitahu saya menang anugerah Pingat Emas Canselor,” katanya.

 

Katanya, beliau bersyukur dengan anugerah yang diterima itu dan akan menanam azam untuk terus berjaya dalam kerjaya nanti.

 

“Saya berminat menjadi pendidik, dan itulah cita-cita saya sejak kecil untuk mengajar anak-anak di sekolah,” katanya yang akan menghadiri temuduga di Melaka pada 1 November ini, untuk jawatan guru.

 

Semasa di UPM, beliau bersama 12 rakan ada menyertai program mengajar anak-anak di Nakhon Sithammarat, Thailand selama sebulan pada Februari lalu, manakala pada Januari lalu menyertai program mobiliti termasuk mengajar anak-anak di Padang Panjang dan Pekanbaru di Indonesia selama dua minggu. - UPM

 

Tarikh Input: 16/11/2018 | Kemaskini: 16/11/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566348151