| Universiti Putra Malaysia

Alumni Pertanian 1972 imbau nostalgia kembali ke UPM

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 5 Julai - Kira-kira seramai 130 orang alumni (bersama pasangan) Kolej Pertanian Malaya (KPM) tahun 1972 kembali semula ke Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 tahun KPM 1972.

Perjumpaan semula para alumni KPM kelas 1972 bermula 4 sehingga 6 Julai itu menggamit semula memori kenangan 50 tahun yang lalu ketika mereka bergelar pelajar di sini.

P. Jayaraman, 75, yang berasal dari Sg. Petani, Kedah berkata beliau berasa sangat gembira dapat kembali semula ke UPM walaupun banyak perubahan dan pembangunan yang sudah berlaku di UPM.

"Ketika di KPM tahun 1972 saya seorang sahaja pelajar berbangsa India namun sehingga kini saya masih berkawan dengan yang lain dan hubungan kami sangat rapat.

"Kami memilih untuk bertemu kembali di UPM sempena sudah 50 tahun KPM 1972 meninggalkan Kolej Pertanian dan kini kolej ini sangat berubah," katanya.

Pada hari kedua lawatan dan Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 tahun KPM 1972 mereka berkesempatan melawat beberapa tempat menarik di UPM seperti Putra Mart, Taman Konservatori Institut Biosains dan Ladang 10 UPM.

Sementara itu, Mohamad Zawawi Ahmad, 72, yang berasal dari Kelantan turut meluahkan rasa gembiranya apabila dapat kembali semula ke UPM dan berasa bangga dengan perubahan yang telah dilalui institusi ini.

Katanya, dahulu KPM sangat kecil sahaja namun kini apabila menjadi sebuah universiti, kawasannya sudah semakin membesar dan terlalu banyak bangunan serta kemudahan yang dibangunkan buat kecemerlangan anak bangsa.

“Selepas 50 tahun meninggalkan Kolej Pertanian saya berasa begitu teruja melihat perkembangan UPM. Pembangunannya sungguh ketara selain banyak kejayaan yang dicapai.

“Perkara yang tidak boleh dilupakan sehingga kini ialah kenangan sewaktu orientasi kerana kami tidak kira lelaki atau perempuan bersama meredah lumpur dan perkara yang berkaitan pertanian,” katanya ketika ditemui di Ladang 10 di sini hari ini. – UPM

WXETIAh~