| Universiti Putra Malaysia

100 pelajar jayakan program sulung Unity Rewang PMIUPM

Oleh Nur Amalyna Azman

 

SERDANG, 11 Mei – Lebih 100 orang pelajar dan sukarelawan menjayakan Program Unity Rewang Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) yang julung kali diadakan.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah rewang bersama-sama dan edaran bubur lambuk ke tujuh belas buah kolej kediaman Universiti Putra Malaysia (UPM) termasuk kepada staf UPM seperti pengawal keselamatan dan pemandu bas.

Ia bertujuan mengeratkan lagi hubungan dan perpaduan di kalangan pelajar universiti yang berbilang kaum dan agama, menjalinkan hubungan baik dengan persatuan-persatuan di UPM, serta menyuburkan budaya berkongsi rezeki dan toleransi di kalangan warga universiti.

Program anjuran PMIUPM itu turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perwakilan Pelajar, Ikatan Kristian, Sahabat Yadim, Pusat Islam UPM dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia.

 

Ia dijalankan pada bulan Ramadan sebagai seruan kepada semua warga UPM untuk mempertingkatkan lagi amalan kemasyarakatan, berkongsi dan bersedekah di bulan mulia ini seperti yang dianjurkan Islam.

Pengarah program, Nur Arif Haflan Hafizul Alif berkata program itu bagi memastikan PMIUPM menjadi pencetus kepada solidariti persatuan-persatuan di UPM, mengeratkan hubungan antara warga UPM dan menjadi satu saluran sosial yang mendorong mahasiswa untuk menyemai semangat kepimpinan, jati diri dan keprihatinan antara satu sama lain.

Muhammad Haziq Yusanizan yang merupakan pengarah bersama pula berkata beliau berharap program itu diteruskan untuk sesi berikutnya dengan melibatkan lebih banyak persatuan.

Presiden PMIUPM, Abdul Muiz Luqman Abd Latiff berkata PMIUPM sentiasa sedia bekerjasama dengan mana-mana persatuan serta pelajar UPM daripada kaum dan agama yang berlainan untuk manfaat warga UPM selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran agama. – UPM

SXDdQAh~