| Universiti Putra Malaysia

PERSEDIAAN IBU BAPA DAN MURID TERHADAP PINDAAN TAHAP PENCAPAIAN (TP) KEPADA GRED DAN PERATUS

Ringkasan Artikel

Rentetan pandangan ibubapa yang kurang jelas dengan pelaporan dalam bentuk tahap penguasaan (TP) sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan pelaporan TP bagi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) akan ditukar kepada peratus dan gred bermula pada sesi persekolahan yang bermula Mac lalu.

Oleh : Dr. Norliza Ghazali

Pensyarah Kanan, Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM

Rentetan pandangan ibubapa yang kurang jelas dengan pelaporan dalam bentuk tahap penguasaan (TP) sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan pelaporan TP bagi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) akan ditukar kepada peratus dan gred bermula pada sesi persekolahan yang bermula Mac lalu.

 

UASA merupakan sebahagian daripada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sumatif yang dilaksanakan untuk menguji tahap kognitif murid di akhir sesi akademik. PBD merujuk kepada penilaian berterusan sesi pengajaran dan pembelajaran untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid dalam pembelajaran.

 

Pelaksanaan PBD bukan untuk membuat perbandingan tahap penguasaan antara murid, sebaliknya bertujuan melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran dan membantu guru meningkatkan pengajaran.

 

Pelaporan PBD dan UASA sebelum ini menggunakan TP 1 hingga 6 dengan diskripsi spesifik. Pindaan terbaharu TP kepada gred dan peratus bagi UASA dilihat lebih jelas, mudah difahami  dan dapat menggambarkan prestasi murid dengan lebih adil.

 

Pindaan ini juga dapat memperkasakan PBD sebagai pentaksiran bersepadu yang terdiri daripada pentaksiran formatif dan sumatif yang lebih komprehensif. Pelaporan terbaharu ini membolehkan guru dan ibu bapa mengenalpasti pencapaian murid dengan lebih terperinci serta mengambil langkah intervensi yang bersesuaian bagi mempertingkatkan pencapaian murid yang optimum.

 

Walau bagaimanapun, pindaan TP kepada gred dan peratus bagi UASA ini semestinya memerlukan persediaan tertentu daripada ibu bapa mahupun murid yang boleh diklasifikasikan mengikut aspek mental, fizikal, emosi serta rohani.

 

Ibu bapa dan murid disarankan membuat persediaan mental dengan melengkapkan  pengetahuan berkaitan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran terkini yang dilaksanakan disekolah.

 

Ibu bapa yang cakna akan perubahan terkini sistem pendidikan cenderung untuk mengambil inisiatif yang bersesuaian membantu murid mengikuti pembelajaran dengan efektif dan seterusnya membuat persediaan menduduki UASA dengan lebih baik.

 

Untuk mencapai hasil pembelajaran yang optimum dalam persekitaran pembelajaran yang menarik, ibu bapa dan murid juga disarankan untuk mengenalpasti sumber serta gaya pembelajaran yang ideal. 

 

Gaya pembelajaran murid yang ideal memainkan peranan penting dalam merealisasikan pembelajaran bermakna dan dapat mengelakkan murid daripada menghafal tanpa memahami apa yang dipelajari semata-mata untuk menduduki UASA.

 

Pelbagai bahan sokongan PdP juga boleh diperolehi melalui portal rasmi KPM mahupun daripada pelbagai platform lain untuk mengikuti pembelajaran berterusan dan seterusnya menyumbang kepada pencapaian PBD serta UASA yang memberansangkan.

 

Selain itu, komunikasi yang baik antara ibu bapa serta murid dengan pihak sekolah juga perlu diwujudkan untuk pemantauan tahap pencapaian pembelajaran dari semasa ke semasa serta sebagai sumber rujukan  sekiranya terdapat perkara yang kurang jelas mengenai amalan PdP dan pentaksiran terkini di sekolah.

 

Selain persediaan mental, persediaan fizikal melalui penjagaan kesihatan murid secara holistik juga perlu dititikberatkan. Amalan gaya hidup sihat, pemakanan yang seimbang dan tidur yang mencukupi adalah aspek penting dalam memastikan tubuh serta minda murid berada dalam keadaan optimum.

 

Ibu bapa yang merupakan individu terdekat dengan murid perlu memainkan peranan penting dalam memastikan persediaan fizikal murid yang menyeluruh khususnya menjelang UASA.

 

Selain pemakanan yang seimbang, ibu bapa juga boleh membantu untuk mempertingkatkan perkembangan minda murid dengan menyediakan pemakanan yang kaya dengan Omega-3 dan asid dokosaheksaenoik (DHA).

 

Penjagaan kesihatan dan persediaan fizikal yang menyeluruh dapat meningkatkan daya tumpuan, daya ingatan serta kecekapan mental murid untuk mengikuti pembelajaran dan seterusnya mencapai prestasi yang cemerlang.

 

UASA terbaharu yang melibatkan pelaporan dalam bentuk gred dan peratus sedikit sebanyak menyumbang kepada tekanan untuk memperolehi keputusan yang baik dalam kalangan ibu bapa dan murid.

 

Perasaan resah, cemas dan susah hati kebiasaannya akan wujud apabila memikirkan keputusan yang akan diperolehi. Ada juga sebahagian murid  mengalami sakit perut, sakit kepala dan pelbagai reaksi psikosomatik iaitu penyakit fizikal implikasi daripada ketidakstabilan emosi untuk menghadapi ujian.

 

Selain itu, terdapat juga ibu bapa yang terlalu mementingkan keputusan cemerlang sehingga memberi tekanan yang melampau kepada murid. Situasi di mana ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak ke pusat tuisyen supaya anak mendapat keputusan cemerlang dalam UASA juga cenderung berlaku.

 

Menghantar anak ke pusat tuisyen tidak menjadi kewajipan, ia merupakan pilihan mengikut keperluan dan kemampuan. Bagi ibu bapa yang tidak berkemampuan, pelbagai inisiatif lain boleh dilakukan seperti mengusulkan cadangan kepada pihak sekolah untuk mewujudkan kelas tambahan dan melaksanakan program mentor-mentee dalam kalangan pelajar.

 

Ibu bapa dan murid perlu bijak dalam menguruskan emosi dan tekanan yang akan dihadapi rentetan pindaan ini. Ibu bapa juga perlu sentiasa memberikan kata-kata positif kepada murid kerana pemikiran yang positif akan menzahirkan tindakan yang positif dan seterusnya menyumbang kepada keputusan yang positif.

 

Selain itu, amalan keagamaan seperti berdoa mengikut kepercayaan masing-masing menjelangnya minggu UASA merupakan persediaan aspek rohani yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan murid.

 

Amalan ini boleh menjadi sumber kekuatan spiritual yang dapat memberikan keyakinan dan ketenangan kepada murid. Jiwa yang tenang menghasilkan sistem memori yang lebih peka untuk bertindakbalas dan murid juga dapat memproses maklumat dengan lebih baik.

 

Persediaan rohani ibu bapa serta murid menyumbang kepada kekuatan spiritual yang mana ia juga merupakan perkara penting dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang efektif dan seterusnya dapat menghadapi UASA dengan jayanya.

 

Kesimpulannya, persediaan dan usaha gigih pelbagai pihak dalam melaksanakan pindaan ini dengan sebaik mungkin diharap dapat merealisasikan hasrat pendidikan negara untuk memperkembangkan potensi murid secara komprehensif dan melahirkan modal insan yang harmonis sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

WXEePAY~