| Universiti Putra Malaysia

UPM Rangkul Anugerah Majikan Pilihan Graduan (GCA) 2023

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SUBANG JAYA, 5 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Anugerah Majikan Pilihan Graduan (GCA) 2023 dalam kategori sektor Universiti Awam (UA) oleh  Talentbank sebagai majikan pilihan dalam kalangan mahasiswa.

Penganugerahan ini selari dengan usaha UPM dalam mencapai Matlamat 1 Pelan Strategik 2021-2025 UPM Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM, Ludinata Misnun berkata pilihan graduan ini dibuat melalui kaji selidik yang dijalankan oleh Talentbank dalam kalangan 200,000 pelajar di seluruh Malaysia selama setahun bermula 31 Julai 2021 hingga 31 Julai 2022

“Penerimaan penganugerahan ini membuktikan jenama UPM merupakan antara majikan yang menjadi pilihan graduan untuk bekerja. UPM dan CEM melaksanakan pelbagai inisiatif khususnya dalam mempersiapkan graduan memasuki dunia pekerjaan,” katanya.

Selain itu, majlis ini meraikan serta mengiktiraf kecemerlangan organisasi yang berusaha merapatkan jurang antara industri dengan akademik daripada 46 sektor pekerjaan seperti perbankan, hiburan, fesyen, pendidikan dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, GCA 2023 dalam sektor UA ini juga diberikan kepada Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. -UPM

WXEcGAX~